Rabu, 20 November 2019 | 8:08pm
Kesebelasan pemain Melaka United pada perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Khairunisah Lokman

Pemain MU bingung

KUALA LUMPUR: Beberapa pemain Melaka United (MU) berada dalam kebingungan selepas nasib mereka bersama skuad Hang Tuah untuk saingan Liga Malaysia musim depan masih belum diputuskan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Mengikut sumber terdekat, MUSA masih belum mengadakan perbincangan rasmi bersama pemain terbabit yang mana kontrak mereka bakal berakhir hujung bulan ini.

Katanya, apa yang lebih mengecewakan apabila MUSA juga dilihat lebih sibuk mengikat pemain baharu berbanding memutuskan nasib sebenar pemain yang sudah bersama pasukan itu musim ini.

"Setakat ini MUSA belum ada melakukan perbincangan sama ada kontrak beberapa pemain yang akan tamat bulan ini disambung atau sebaliknya.

"Pemain jadi tertanya-tanya, sepatutnya MUSA memberikan kata putus bagi menyenangkan pemain yang tak disambung kontrak mencari pasukan baharu," kata sumber itu kepada BH Sukan, hari ini.

Sebelum ini, MUSA sudah mengikat beberapa pemain untuk mengharungi musim depan termasuk bekas pemain import PKNS, Romel Morales.

Selain itu, sumber berkenaan turut mendedahkan MUSA masih berdepan tunggakan gaji lebih dua bulan kepada pemain.

"Pihak pengurusan MUSA sebelum ini berjanji akan melunaskan tunggakan itu, jadi semua pemain ketika ini hanya tunggu saja," katanya.

Berita Harian X