Rabu, 20 November 2019 | 10:03pm
PENGERUSI Jawantakuasa Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Dato Chu Ah Nge Kelab Diraja Selangor, Datuk Gerald Rakish Kumar (kanan) menghadiahkan jersi kepada Luqman ketika majlis undian, hari ini.

Luqman sedia galas tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Ketiadaan Safawi Rashid bakal menyaksikan tumpuan terarah kepada bintang muda, Luqman Hakim Shamsuddin andai dipilih membarisi skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Pemain berusia 17 tahun itu, berkata dia sememangnya memasang impian bagi mewakili negara beraksi pada temasya dwitahunan itu.

"Saya menyaksikan edisi 2017 di tempat duduk penonton dan sejak itu saya cuba untuk menempatkan diri dalam pasukan bagi edisi kali ini," kata Luqman ketika menghadiri majlis undian Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Dato Chu Ah Nge Kelab Diraja Selangor, hari ini.

Terdahulu, jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan Safawi digugurkan daripada skuad ke Sukan SEA selepas pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sudah mengharungi jadual saingan yang padat sepanjang musim ini.

Bagi Luqman, jika disenaraikan dia sudah bersedia untuk mempamerkan prestasi terbaiknya bagi membantu pasukan memburu pingat emas di bumi Manila.

"Saya tahu ia bukan tugas mudah dan saya akan buat yang terbaik. Tiada sebarang tekanan untuk saya kerana saya sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali berada di atas padang sama ada ketika latihan ataupun perlawanan," katanya.

Sementara itu, edisi ke-15 Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Dato Chu Ah Nge Kelab Diraja Selangor akan diadakan di Pusat Sukan Kelab Diraja Selangor di Bukit Kiara bermula 30 November hingga 1 Disember ini.

Kejohanan itu dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Remaja Kelab Diraja Selangor.

 

 

Berita Harian X