Khamis, 21 November 2019 | 6:53am
Mourinho menjanjikan “semangat sebenar” apabila dilantik sebagai bos Tottenham Hotspur semalam. - Foto Reuters

Janji Mourinho

LONDON: Jose Mourinho menjanjikan “semangat sebenar” apabila dilantik sebagai bos Tottenham Hotspur semalam selepas Mauricio Pochettino dipecat oleh kelab Liga Perdana yang sedang bergelut itu.

Bekas pengendali Chelsea, Real Madrid dan Manchester United diumumkan sebagai bos baharu di White Hart Lane beberapa jam selepas pengurus Argentina itu dipecat.

“Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk menerima cabaran,” kata Mourinho kepada laman sesawang rasmi Tottenham.

“Apa yang saya boleh janjikan? Semangat, semangat sebenar. Bersemangat untuk tugas, tapi juga bersemangat untuk kelab saya, itulah cara saya sepanjang karier saya.”

Pengendali berusia 56 tahun itu tidak bekerja sejak meninggalkan United Disember lalu dan menandatangani kontrak hingga penamat musim 2022-23 selepas bersetuju dengan apa ditawarkan Spurs.

Kelab berkenaan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu tetapi kini berkedudukan ke-14 Liga Perdana selepas hanya menang tiga kali daripada 12 perlawanan.

Mereka kini 11 mata daripada empat pasukan teratas yang memberikan kelayakan ke kejohanan elit Eropah itu.

“Jelas saya mahu cuba, apa saja untuk memberikan kegembiraan kepada sesiapa yang sayangkan kelab ini,” katanya yang pernah menang gelaran domestik di Portugal, England, Itali dan Sepanyol. - AFP

Berita Harian X