Khamis, 21 November 2019 | 7:27pm
Bekas pemain tengah Petaling Jaya City FC, Annas Rahmat (kanan) menyertai skuad Melaka United (MU) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. - Foto Eizairi Shamsudin

Annas teruja sertai MU

SEREMBAN: Bekas pemain tengah Petaling Jaya City FC, Annas Rahmat menyertai skuad Melaka United (MU) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Annas yang pernah menjadi penolong kapten Negeri Sembilan mengakui teruja apabila pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) bersetuju menerimanya sebagai orang baharu dalam pasukan itu.

Pemain kelahiran Seremban itu berkata, dia sudah menerima surat tawaran daripada MUSA untuk menyertai skuad berkenaan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

"Saya sudah menerima surat tawaran untuk bersama MU musim depan dan ketika ini sedang menunggu tandatangan kontrak.

"Saya bersyukur dengan tawaran itu kerana dapat mengembangkan lagi kemahiran dalam permainan bola sepak selain menimba pengalaman berharga di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan," katanya di sini, hari ini.

Annas, 25, antara pemain muda yang berjaya dilahirkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan dia mula mendapat pendedahan selepas menyertai skuad Piala Presiden negeri itu.

Bekas pemain Harimau Muda B itu pernah bersama Negeri Sembilan selama dua musim dari 2016 hingga 2017 sebelum kemudiannya menyertai PKNS FC pada 2018 dan meneruskan kariernya dengan menyertai PJ City FC.

Annas berkata, dia berjanji akan menggunakan pengalaman beraksi dengan pasukan lain sebelum ini untuk memberikan sumbangan terbaik bersama MU.

"Saya akan terus berusaha meningkatkan lagi prestasi demi merealisasikan sasaran dan impian yang ditetapkan pengurusan MU musim depan," katanya.

Berita Harian X