Khamis, 21 November 2019 | 11:34pm
Wan Kuzain Wan Kamal, antara pemain yang menyertai sesi latihan Skuad bawah 22 di kompleks Sukan MP Subang Jaya, kendalian Datuk Ong Kim Swee sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina. - Foto ihsan hsan Ooi Kin Fai

Persoalan babit Kuzain tunggu esok

SUBANG JAYA: Sama ada pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dapat terus bersama skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) ke Sukan SEA 2019, semuanya akan terjawab esok.

Ini kerana pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan senarai 20 pemain ke temasya dwitahunan itu hanya akan diumumkan tengahari esok selepas penilaian dibuat bersama barisan kejurulatihan yang lain.

“Pada sesi latihan, Kuzain menunjukkan persefahaman di dalam dan luar padang yang cukup baik namun buat masa ini, masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum waktu akhir pendaftaran 20 pemain.

“Kalau semuanya berjalan lancar, kita akan dapat senaraikan Kuzain namun kalau tidak, kita terpaksa lupakan khidmatnya.

“Kita tunggu senarai esok sama ada dia dapat bersama kita ataupun tidak,” katanya pada sesi latihan di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Pada sesi latihan terbabit, skuad B-22 menguji dua pasukan dari Australia iaitu Western Australia dan Northern Territory pada setiap babak namun Wan Kuzain tidak diturunkan pada aksi terbabit.

Berita Harian X