Khamis, 21 November 2019 | 11:51pm
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Azhar Ramli

Hamidin yakin kemampuan skuad B-22 negara

KUALA LUMPUR: “Skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) mesti boleh!” 

Itu keyakinan yang dilontarkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terhadap kemampuan anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mengharungi temasya Sukan SEA 2019 di Manila, hujung bulan ini.

"Kita dapat lihat skuad kebangsaan di bawah pimpinan beliau mampu menempa kejayaan. Ini juga membuka peluang kepada setiap pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing," katanya ketika menyaksikan dua perlawanan persahabatan skuad B-22 di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Pada aksi terbabit, skuad B-22 menewaskan Northern Territory Selection 3-0 menerusi jaringan Khairul Amizan Suhaimi dan Luqman Hakim Shamsuddin yang meledak dua gol. 

Malaysia kemudiannya menewaskan Western Australia Selection 2-0 menerusi jaringan Hadi Fayyadh Abdul Razak R dan Kogileswaran. 

Skuad kebangsaan dijadualkan bertemu Myanmar pada aksi pertama Isnin ini sebelum menentang tuan rumah (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).

Sebagai rekod, Kim Swee pernah menghadiahkan pingat emas Sukan SEA pada temasya di Indonesia 2011 dan pingat perak pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X