Jumaat, 22 November 2019 | 11:56pm
Penyerang Manchester United, Marcus Rashford. - Foto planetfootball.com/

Lagi berusia, lagi bagus - Rashford

LONDON: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford memberi amaran dia masih belum berada di prestasi terbaik di sebalik persembahan bertenaga yang ditampilkan kebelakangan ini.

Penyerang berusia 22 tahun itu meledak gol dalam kedua-dua perlawanan kelayakan Euro 2020 bersama England ketika rehat antarabangsa sekali gus mengumpul sembilan gol dalam 10 perlawanan buat kelab dan negara.

Rashford mendedahkan dia gembira dengan prestasinya di depan gawang tetapi yakin lebih banyak yang boleh dibuktikannya apabila usianya semakin meningkat.

“Saya hanya menggunakan pengalaman ini dan berusaha menjadi lebih baik di masa depan, kerana saya tahu apabila saya di usia 25, 26, 27, ia adalah tahun di mana saya akan mengharungi permainan terbaik saya dalam bola sepak,” kata Rashford.

“Saya tidak sabar untuk menanti tempoh berkenaan dan meningkat sebanyak yang boleh sehingga itu.”

Selepas meledak dua gol pada perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Chelsea, Rashford begitupun hanya berupaya meledak satu gol dalam tujuh perlawanan berikutnya - penalti ketika kemenangan 1-0 ke atas Leicester City pada September.

Begitupun, produk akademi United itu kembali meraih semula sentuhannya dan meledak tiga gol dalam empat perlawanan terakhir liga selain menyumbat dua gol dalam saingan Piala Liga dan Liga Europa.

Berita Harian X