Sabtu, 23 November 2019 | 10:45am
HAMIDIN Mohd Amin

Waspada 'sifir' lawan - Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan skuad Bawah 22 tahun (B-22) supaya sentiasa berwaspada dengan pencabar mereka pada temasya Sukan SEA 2019 di Manila, minggu depan.

Bagaimanapun, Hamidin optimis skuad B-22 mampu mencipta kejayaan kerana skuad negara yang diberi kepercayaan itu dibarisi gabungan mantap sekali gus mampu memberi saingan sengit kepada pencabar yang lain.

"Dengan barisan pemain yang saya lihat sebagai gabungan mantap diumumkan hari ini (semalam), saya yakin pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu melakar kejayaan,” kata Hamidin ketika majlis makan malam bersama skuad B-22 kebangsaan, semalam.

"Mereka yang dipilih itu memang berkualiti tinggi tetapi pemain perlu konsisten, fokus dan berdisiplin hingga ke perlawanan akhir untuk berjaya. 

"Namun, dengan pengalaman yang ada pada Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal selaku pengurus pasukan kebangsaan dan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, saya yakin dengan pemain yang dipilih untuk membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA tahun ini."

Skuad kebangsaan dijadual bertemu Myanmar pada aksi pertama Isnin ini sebelum menentang tuan rumah (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember). 

Berita Harian X