Ahad, 24 November 2019 | 10:46pm
Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Semua pasukan miliki peluang sama - Kim Swee

MANILA: Datuk Ong Kim Swee mungkin adalah seorang jurulatih veteran untuk skuad bola sepak Sukan SEA negara tapi temasya edisi ke-30 nampaknya adalah berbeza sama sekali.

Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22) itu berkata Malaysia selaku pemenang pingat perak dalam edisi Sukan SEA lalu, berhadapan dengan cabaran sengit.

Kim Swee berkata penyertaan dua pemain lebih umur akan menghangatkan lagi perlumbaan untuk skuad negara mengejar `ibu segala pingat emas’ dalam acara yang akan berlangsung di tiga venue -- Stadium Memorial Rizal, Stadium Binan dan Imus Grandstand and Track Oval.

Jurulatih berusia 49 tahun itu memilih pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Adam Nor Azlin, 23 dan Muhammad Irfan Zakaria, 24, pemain pertahanan Kuala Lumpur mengisi slot dua pemain lebih umur untuk mewakili negara.

“Setiap pasukan mahu menang (pingat emas) dan saya percaya Sukan SEA kali ini akan berbeza sekali dari Sukan SEA lepas kerana ini kali pertama dua pemain lebih umur dibenarkan bermain, dan ini menjadikan semua pasukan dalam Kumpulan A dan B, seimbang,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini hari ini.

Pada masa sama beliau melahirkan keyakinan tuan rumah, Filipina mampu menguruskan temasya sukan itu dengan baik biarpun berhadapan beberapa masalah, terutamanya untuk menghantar atlet ke tempat penginapan masing-masing dalam masa ditetapkan, di dalam kesesakan teruk lalu lintas di sini.

Berkongsi pandangan yang sama ialah Ketua Jurulatih B-22 Myanmar, Velizar Popov yang melihat semua pasukan dalam Kumpulan A dan B mempunyai peluang yang sama untuk mara dalam pertandingan kalah mati itu.

“Kami berharap dapat beraksi dalam pertandingan yang berkualiti di Sukan SEA dan kesemua pasukan sudah tentu berada dalam keadaan terbaik mereka berdasarkan persiapan menyeluruh dilakukan sebelum tiba di Manila,” menurut warganegara Bulgaria berusia 43 tahun yang pernah menjadi ketua jurulatih Kelantan pada 2016.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA bertemu Myanmar esok, diikuti Filipina (29 November) , Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, di sini.

Juara bertahan Thailand di dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

-- BERNAMA

Berita Harian X