Ahad, 24 November 2019 | 11:07pm
Wan Kuzain Wan Kamal kekal positif dan mahu melihat kejayaan buat pasukan negara. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Wan Kuzain tetap positif

KUALA LUMPUR: Sekali pun tidak dapat bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) ke Sukan SEA ke-30, pemain muda dari Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal kekal positif dan mahu melihat kejayaan buat pasukan negara pada temasya dwi tahunan itu.

Sambil mengakui kecewa tidak dapat membantu pasukan susulan masalah kesuntukan masa untuk menyelesaikan dokumen dirinya, pemain kelab Sporting Kansas City di AS itu tetap memasang impian menyarung jersi Malaysia pada masa akan datang.

"Kecewa apabila tidak dapat mewakili Malaysia ke Sukan SEA. Saya berharap semuanya berjalan lancar dan dapat turut, malangnya buat masa ini, ia belum kesampaian.

"Selamat maju jaya kepada pasukan di Filipina," katanya menerusi muat naik terbaharu pada akaun sosial Twitter miliknya.

Nama Wan Kuzain tidak dapat disenaraikan dalam 20 pemain yang dibawa ke Manila susulan masalah dokumentasi yang tidak dalam diselesaikan sebelum tarikh tutup pendaftaran.

BH Sukan semalam, melaporkan badan induk itu tidak pernah serik untuk membantu Wan Kuzain sekiranya terus berhasrat mewakili negara di pentas antarabangsa.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, seseorang pemain bola sepak perlu membuat pilihan dan pihaknya memerlukan lebih masa untuk selaraskan keperluan Wan Kuzain.

"Semua orang tahu kita (Malaysia) kena ada hanya satu pasport. Dalam kerjaya bola sepak mereka kena memilih. Dengan sistem yang kita ada, kita memerlukan lebih masa untuk selaraskan apa yang diperlukannya, " kata Stuart.

Berita Harian X