Selasa, 26 November 2019 | 7:38pm
PHILIPPE Coutinho

Coutinho gembira di Bayern

BERLIN: Philippe Coutinho gembira bermain disamping Thomas Muller ketika pengendali sementara Bayern Munich, Hansi Flick memilih untuk menggunakan dua pemain kreatif itu sebagai senjata utamanya.

Kehadiran perancang Brazil itu di Allianz Arena pada musim lalu menyaksikan penyerang Jerman, Muller diketepikan bekas pengendali, Niko Kovac.

Situasi itu mencetus khabar angin membabitkan perpindahan Muller tetapi pemecatan Kovac dan sistem yang diperkenalkan Flick menyaksikan kedua-duanya disenaraikan ketika Bayern cemerlang menewaskan Fortuna Dusseldorf 4-0, minggu lalu dengan Coutinho turut menjaringkan gol.

“Saya sentiasa berkata yang saya boleh bermain dengan Thomas,” kata Coutinho. “Dia pemain yang hebat dan seseorang yang amat penting untuk Bayern. 

“Dia memiliki segala-galanya, bakat dan pengalaman, yang menjadikannya ramuan yang penting dalam pasukan. Saya mempunyai kekuatan saya dan dia mempunyai kekuatannya. Satu-satunya perkara yang penting ialah menggabungkannya untuk Bayern.”

Penampilan Coutinho, Sabtu lalu adalah aksi sulungnya dalam kesebelasan utama di bawah Flick dan bekas pemain Liverpool itu gembira diberi kepercayaan.

“Saya cuba untuk membalas kepercayaannya kepada saya,” kata Coutinho yang menyertai Bayern secara pinjaman dari Barcelona. “Ketika ini pasukan bermain dengan amat baik dalam melaksanakan apa yang jurulatih mahu. 

“Melakukan tekanan tanpa bola amat penting untuknya. Kami menghampiri kawasan lawan dengan pantas dan dengan tersusun, dan ia memberikan pasukan lawan banyak masalah. Kami tidak menjangkakan ia akan berjaya dengan pantas.” - Agensi

 

 

Berita Harian X