Rabu, 27 November 2019 | 2:29pm

Jangan 'pancing' pemain Sukan SEA - Kim Swee

MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mohon pasukan Liga Malaysia (Liga M) agar tidak ‘memancing’ barisan pemainnya ketika pasukan itu sedang menghadapi saingan Sukan SEA 2019.

Pengendali berusia 49 tahun itu, berkata ia penting bagi memastikan anak buahnya dapat memberikan fokus sepenuhnya dengan cabaran di Manila dalam misi memburu pingat emas bola sepak.

“Ini sebenarnya perkara biasa apabila kita bermain dalam kejohanan yang berlangsung pada hujung tahun dan selepas tamat saingan liga,” kata Kim Swee ketika ditanya sekiranya ada pasukan Liga M yang mengadakan rundingan bersama pemain ketika temasya dwi tahunan itu sedang berlangsung.

“Saya percaya kelab mempunyai pendapat masing-masing dalam hal ini tetapi kita tahu ini adalah tugasan untuk negara.

“Jadi, saya minta mereka (pemain) diberikan masa untuk memikirkan mengenai perkara ini (tawaran daripada kelab) selepas tamat Sukan SEA. Ini penting bagi membolehkan mereka memberi tumpuan penuh dalam kejohanan kali ini.”

Difahamkan, beberapa pemain dalam skuad Kim Swee ketika ini sedang menjadi buruan pasukan Liga M termasuklah pemain pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria; penyerang Fagiano Okayrama, Hadi Fayyadh Abdul Razak; dan tonggak tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Skuad negara bakal berdepan aksi penting bertemu tuan rumah Filipina untuk perlawanan kedua Kumpulan A, Jumaat ini dengan misi wajib meraih tiga mata bagi mencerahkan laluan untuk mara ke separuh akhir.

Ini selepas anak buah Kim Swee sekadar seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan, Isnin lalu.

Namun, Kim Swee boleh menarik nafas lega apabila Filipina turut mencatat keputusan 1-1 dalam perlawanan pertama mereka menentang Kemboja.

“Peluang masih terbuka kerana kita tahu perlawanan pertama tidak menentukan apa yang akan berlaku di perlawanan terakhir. Jadi, kita perlu konsisten.

“Semua pasukan meraih satu mata tetapi saya percaya kedudukan akan berubah selepas perlawanan kedua. Maka, penting untuk kita meraih tiga mata pada perlawanan kedua dan seterusnya bagi layak ke peringkat seterusnya,” kata Kim Swee.

Bagaimanapun, Filipina akan turun untuk aksi kedua menentang Myanmar hari ini manakala Kemboja bertemu Timor Leste di sebelah malam.

Kim Swee (dua dari kanan) berbincang dengan pemain Malaysia, Danial Amier (kanan) pada sesi latihan Malaysia menjelang perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA Filipina 2019 menentang Filipina Jumaat ini. - NSTP/Osman Adnan
Berita Harian X