Rabu, 27 November 2019 | 10:11pm
JURULATIH skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique. - Foto AFP

Moreno 'tidak setia' - Enrique

MADRID: Jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique melabel pengendali terdahulu, Robert Moreno sebagai ‘tidak setia’ dan tidak akan berada dalam staf kejurulatihan La Furia Roja bagi Euro 2020.

Moreno diketepikan daripada tugas jurulatih, minggu lalu bagi memberi laluan kepada kepulangan semula Enrique sekali pun dia cemerlang mengemudi Sepanyol mengharungi kempen kelayakan Euro 2020 tanpa kalah termasuk perlawanan terakhir menewaskan Romania 5-0.

Selepas perlawanan, Moreno tidak hadir bagi sidang media selepas perlawanan dan dilaporkan meninggalkan bilik persalinan pemain dengan tangisan.

Dia sebelum ini dinaikkan pangkat daripada pembantu jurulatih kepada ketua jurulatih selepas Enrique meletakkan jawatan kerana ingin menjaga anak perempuannya yang menghidapi kanser, Xana yang meninggal dunia pada Ogos lalu.

Enrique dan Moreno adalah teman baik sebelum ini dan pernah bekerja bersama di Barcelona, Celta Vigo dan Roma.

“Satu-satunya perkara yang bertanggungjawab mengapa Moreno tidak berada dalam sebahagian staf saya adalah saya,” kata Enrique. “Perselisihan itu berlaku pada 12 September, satu-satunya hari di mana saya menemuinya.

“Dia menghubungi saya dan kami bertemu di kediaman saya dan dia nampak seperti dia mahu meneruskannya bagi Kejuaraan Eropah dan kemudian jika saya mahu, dia boleh menjadi pembantu kepada saya semula.

“Saya faham dia teruja untuk menjadi jurulatih dan saya faham ia adalah impiannya dan dia bekerja keras untuk mendapatkannya. Tetapi saya difahamkan dia tidak setia, saya tidak akan melakukannya dan saya tidak mahu seseorang seperti itu dalam staf saya.”

Moreno sebelum ini berkata pada sidang media pada 3 September dia akan ‘menjadi yang pertama dan paling gembira untuk mengundurkan diri’ jika Enrique mahu kembali bertugas.

“Saya merasa bertanggungjawab dan saya tidak bangga bagaimana ia berakhir, saya tidak gemar melihat orang menderita,” kata Enrique yang menandatangani kontrak selama tiga tahun sehingga Piala Dunia 2022 di Qatar. - AFP

 

 

Berita Harian X