Khamis, 28 November 2019 | 12:28pm

Awas amukan The Azkals yang terluka

MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menjangkakan anak buahnya bakal berdepan tugas sukar menjelang pertemuan dengan Filipina dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial, malam esok.

Pengendali berusia 49 tahun itu, berkata selepas kekalahan dialami skuad The Azkals yang tewas 1-2 di tangan Myanmar semalam, sudah pasti lawan itu akan menggunakan pertemuan dengan Malaysia sebagai medan kebangkitan mereka.

“Kita dapati pasukan Filipina bukan pasukan yang mudah. Saya lihat Myanmar juga hadapi situasi sama yang mana mereka hanya mendapat gol kemenangan pada minit ke-75.

“Kita harus waspada. Kita tahu yang mereka sudah tewas sekali dan seri sekali (terikat 1-1 dengan Kemboja dalam perlawanan pertama) sekali gus mereka tidak boleh kehilangan mata lagi.

“Kita pasti akan diasak dan diberikan tentangan sengit. Kita perlu bermain seperti mana yang kita rancang dan pada sama tidak boleh terlampau ghairah.

SKUAD bola sepak Malaysia (Bwh22) menjalani latihan di Stadium Memorial Rizal menjelang perlawanan peringkat Kumpulan menentang Filipina Sukan SEA Filipina 2019, Jumaat ini. - Foto NSTP/Osman Adnan

“Kita harus mengawal keadaan seberapa lama yang boleh untuk memastikan kita tidak dibolosi dan jika itu berlaku sudah tentu kita ada peluang untuk  dapat mata penuh yang mana cukup penting,” kata Kim Swee ketika ditemui pada sesi latihan di sini, hari ini.

Kemboja dan Myanmar ketika ini berkongsi empat mata di dua tangga teratas Kumpulan A manakala Malaysia berkongsi satu mata dengan Filipina di kedudukan ketiga dan keempat namun skuad negara kurang satu perlawanan.

Mengulas lanjut aksi bertemu dengan Filipina, Kim Swee turut mengingatkan anak buahnya untuk berwaspada dengan pergerakan pemain tengah pasukan lawan, Stephan Schrock yang dianggap sebagai nadi kekuatan pasukan berkenaan.

Schrock, 33, yang beraksi bersama kelab Ceres Negros adalah salah seorang daripada dua pemain melebihi umur yang membarisi skuad Filipina kali ini.

“Kehadiran dua  pemain yang mengisi kuota melebihi pasukan Filipina memberikan perbezaan yang cukup ketara kepada pasukan berkenaan terutama pemain berjersi nombor 17 (Schrock) yang menjadi nadi kekuatan mereka.

“Jadi, kita tidak boleh ambil mudah atau cari jalan mudah. Kita tidak boleh fikir kita boleh menang dengan mudah,” kata Kim Swee.

KETUA Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee (tengah) memantau 2 penjaga gol, Damien Lim (kiri) dan Haziq Nadzli (kanan) kendalian jurulatih penjaga gol, Kris Yong (2, kanan) di Stadium Memorial Rizal menjelang perlawanan peringkat Kumpulan menentang Filipina Sukan SEA Filipina 2019, Jumaat ini. - Foto NSTP/Osman Adnan
Berita Harian X