Khamis, 28 November 2019 | 2:14pm
AIDIL Sharin Sahak

Kedah intai pemain Tajikistan, Jepun dan Australia

ALOR SETAR : Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menimbang cadangan mendapatkan import kuota Asia dari Tajikistan, Jepun dan Australia bagi melengkapkan skuad Lang Merah untuk saingan Liga Malaysia musim 2020.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Anas Hafiz Mustafa, jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak ada memberi bayangan mengenai calon-calon yang dirasakan sesuai untuk mengisi satu slot kuota Asia bagi menggantikan Edgar Bernhadt yang  khidmatnya tidak disambung pada musim depan. 

"Dia (Aidil) ada memaklumkan terdapat dua hingga tiga pilihan calon pemain kuota asia setakat ini tapi beliau masih mahu melihat dan menilai terlebih dahulu semua pemain yang dia jadikan sasaran."

"Aidil bayangkan kepada kami sama ada daripada Tajikistan, Jepun dan juga Australia. Jadi ini merupakan calon pemain-pemain yang dia telah disenaraikan untuk kuota Asia ini." 

"Kita memberi kebebasan kepada Aidil untuk menilai dan memilih pemain yang paling sesuai untuk ditandatangi dan dalam usaha ini beliau masih lagi mencari calon terbaik seperti yang dilaporkan dalam media sebelum ini."

Merujuk kepada lima import yang beraksi pada musim 2019, Kedah hanya mengekalkan dua import iaitu pemain pertahanan dari Brazil Renan Alves dan Shakir Hamzah dari Singapura. 

"Hanya dua import dikekalkan pada musim depan manakala tiga pemain import musim ini iaitu Fernando Rodriguez dari Sepanyol, Jonatan Bauman dari Argentina dan Edgar Bernhadt dari Kyrgyzstan tidak disambung kontrak."

"Jadi, dua pemain import telah diisi iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche, dan kini kita hanya ada satu lagi kekosongan iaitu kuota Asia dan keputusan pemain mana yang akan dipilih untuk kuota ini akan kita maklumkan dalam masa terdekat." katanya.

 

 

Berita Harian X