Khamis, 28 November 2019 | 8:30pm
BOS Arsenal, Unai Emery. - Foto REUTERS

Emery yakin takkan dipecat

LONDON: Bos Arsenal, Unai Emery menegaskan dia masih mendapat sokongan pengurusan tertinggi kelab ketika tekanan peminat untuk melihatnya disingkirkan kian memuncak.

Arsenal akan menanti kunjungan Eintract Frankfurt dalam saingan Liga Europa, awal pagi ini dengan skuad kendalian Emery tampak goyah selepas mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan.

Keputusan seri 2-2 menentang Southampton, minggu lalu meningkatkan ejekan peminat Arsenal terhadapnya dengan beberapa kawasan penonton kedengaran sorakan yang mahu pengendali dari Sepanyol itu dipecat.

Di sebalik segala tekanan, pengendali berusia 48 tahun itu tetap mengemudi pasukannya menentang Frankfurt dan mempunyai keyakinan penuh Ketua Bolasepak Gunners, Raul Sanllehi, Pengarah Teknikal, Edu serta beberapa lagi bos besar kelab itu masih mempercayainya.

“Kelab ini masih menyokong saya,” kata Emery. “Saya merasakan kelab dan semua orang yang bertanggungjawab terhadap perkara ini menyokong saya. Saya benar-benar menghargainya.

“Saya merasa kuat disebabkan oleh sokongan ini dan tahu saya bertanggungjawab untuk bangkit dan mengubah situasi. Tugas saya adalah menyiapkan pasukan untuk perlawanan pada Khamis (awal pagi Jumaat) dan hanya memberi tumpuan terhadap perlawanan itu.

“Kami hanya memerlukan satu perlawanan yang bagus, hubungan yang bagus dengan peminat kami dan kerana itu saya perlu kuat dan konsisten setiap masa.”

Sekali pun dihujani pelbagai kritikan daripada pelbagai arah, Emery menegaskan dia masih gembira menjalankan tugasnya dan ini bukan kali pertama dia berdepan situasi seperti itu. - Agensi

Berita Harian X