Jumaat, 29 November 2019 | 5:20pm
PEMAIN JDT, Safawi Rasid. NSTP/Aizuddin Saad

Safawi dahului undian gol terbaik ACL

KUALA LUMPUR: Reputasi Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) 2019, Safawi Rasid terus melonjak apabila jaringannya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) tersenarai dalam 10 jaringan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Jaringan terbabit dilakukan pemain kebangsaan itu ketika skuad Harimau Selatan berkunjung ke Shandong untuk berdepan cabaran Shandong Luneng pada aksi ketiga, April lalu.

Ketinggalan 2-0 pada aksi terbabit, Safawi mendapat bola di sebelah sayap kanan dan berjaya melepasi kawalan pertahanan Shandong Luneng sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Shandong Luneng, Wang Dalei.

Namun, jaringan terbabit belum cukup untuk membantu pasukannya meraih kemenangan apabila kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sebagai rekod, JDT melakukan penampilan sulung di pentas ACL pada musim 2019 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan E namun berjaya melakukan kejutan apabila menumbangkan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 di laman sendiri.

JDT sekali lagi akan beraksi dalam saingan ACL musim depan selepas mengesahkan tiket ke peringkat kumpulan selaku juara Liga Super 2019.

Penyokong bola sepak tempatan boleh melakukan undian untuk gol Safawi di laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Selain Safawi, sembilan lagi pemain yang turut tersenarai adalah antaranya Islam Tukhtakhujaev (PFC Lokomotiv), Gonzalo Viera (Al Rayyan), Serginho (Kashima Antlers),

Shojae Khalilzadeh (Persepolis), Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor), Kim Dae-won (Daegu FC), Romarinho (Al-Rayyan), Khalid Muneer (Al-Duhail) dan Fabricio (Urawa Red Diamonds).

Setakat jam 5 petang ini, Safawi mendahului undian dengan 51 peratus (53,347 undian) diikuti Khalilzadeh dengan 48 peratus (50,150 undian).

Rakyat Malaysia boleh mengundi Safawi di pautan https://www.the-afc.com/competitions/afc-champions-league/latest/news/vo...

Berita Harian X