Jumaat, 29 November 2019 | 10:19pm

Skuad B-22 tumbang di tangan Filipina

MANILA: Mimpi ngeri Malaysia tewas di tangan Filipina 0-1 ketika Sukan SEA 1991 di Stadium Rizal Memorial di Manila sekali lagi berulang.

Bersaksikan stadium sama, kali ini giliran skuad bawah 22 tahun (B-22) negara pula terpaksa meratapi kekalahan apabila tewas di tangan tuan rumah 0-1 dalam aksi kedua Kumpulan A, sebentar tadi.

Penyerang The Azkals, Stephan Schrock menjadi duri dalam daging buat skuad negara apabila dia menjaringkan gol kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-72 ketika keadaan kelam kabut di pintu gol Malaysia yang dikawal Muhamad Haziq Nadzli.

AKHYAR (kiri) melepasi pertahanan Filipina pada perlawanan peringkat kumpulan acara bola Sepak Sukan SEA Filipina 2019. NSTP/Osman Adnan

MANILA, 29 Nov -- Pemain Kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid (dua, kiri) mengasak pemain Filipina pada acara Perlawanan Bola Sepak Lelaki Peringkat Kumpulan di antara Malaysia menentang Filipina di Stadium Rizal Memorial hari ini.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang sekadar seri 1-1 dengan Myanmar ketika aksi pembukaan tidak mempunyai pilihan selain menang dua aksi terakhir kumpulan menentang Timor Leste dan Kemboja.

Pada aksi itu, Kim Swee melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama apabila menyenaraikan Nik Akif Syahiran Nik Mat bagi mengambil tempat Luqman Hakim Shamsudin.

Pemain Pahang, R Dinesh pula dibawa masuk menggantikan tempat Umar Hakeem Suhar Rezwan.

Bagaimanapun, percaturan itu tidak mencetuskan impak besar apabila kedua-dua pemain berkenaan dikeluarkan Kim Swee pada minit ke-67.

Terdahulu, aksi babak pertama berakhir hambar apabila hanya dua percubaan tepat dihasilkan kedua-dua pasukan namun Filipina lebih mengawal perlawanan.

Bersambung babak kedua, The Azkals tampil lebih garang dan akhirnya berjaya mendapat gol kemenangan menerusi Schrock.

Kemenangan membolehkan Filipina menghidupkan kembali peluang ke separuh akhir selepas sekadar seri 1-1 dengan Kemboja dan tewas 1-2 di tangan Myanmar sebelum ini.

REAKSI pemain Malaysia selepas tumpas 0-1 kepada Filipina pada perlawanan peringkat kumpulan acara bola Sepak Sukan SEA Filipina 2019. NSTP/Osman Adnan
Berita Harian X