X
Sabtu, 30 November 2019 | 12:29am
JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) Filipina, Goran Milojevic. - Foto AFP
JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) Filipina, Goran Milojevic. - Foto AFP

Kami berhak menang - Milojevic

MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Filipina, Goran Milojevic menegaskan anak buahnya sememangnya berhak dengan kemenangan 1-0 ke atas Malaysia dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial, malam tadi.

Pengendali dari Serbia itu, berkata selepas dua perlawanan yang sukar - seri 1-1 dengan Kemboja dan tewas 1-2 di tangan Myanmar sebelum ini, pemainnya wajar meraikan kemenangan itu.

“Ini adalah perlawanan yang paling sukar untuk kami kerana kami memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir. Akhirnya, kemenangan memihak kepada kami.

“Selepas mengharungi tiga perlawanan sukar, kami menang berhak menang hari ini. Kami tidak patut seri dengan Kemboja dan tewas kepada Myanmar sebelum ini,” kata ketika sidang media selepas perlawanan.

Kapten Filipina, Stephan Schrock muncul wira The Azkals apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan sudut yang diambilnya pada minit ke-72.

Milojevic, berkata dia mengambil risiko dengan menampilkan formasi 3-5-2 bagi membolehkan pasukannya melancarkan serangan ke atas Malaysia.

“Pemain mengikut arahan yang diberikan dengan baik. Mereka berikan komitmen 100 peratus di atas dan terima kasih kepada penyokong yang memberikan sokongan padu kepada pasukan ini. Kami gembira dengan kemenangan ini,” katanya.

Berita Harian X