Sabtu, 30 November 2019 | 10:42am
Reaksi pengendali Arsenal, Unai Emery ketika pasukan bimbingannya menentang Eintracht Frankfurt pada saingan Liga Europa, kelmarin. - Foto AFP

Emery minta peminat terus sokong Arsenal

LONDON: Unai Emery mengutus mesej selamat tinggal kepada penyokong Arsenal sambil meminta mereka terus memberikan sokongan padu kepada pemain yang ditinggalkannya.

Emery meninggalkan Emirates semalam selepas persembahan terburuk apabila kalah 1-2 di tangan Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa yang juga kekalahan ketujuh dalam semua pertandingan.

Sejurus dipecat, Emery terus mengutus mesej kepada penyokong Arsenal, lembaga pengarah dan pemain menerusi laman web rasmi pasukan sambil menyatakan pasukan berdepan detik ‘pahit’ sepanjang kehadirannya.

Bekas kapten, Granit Xhaka turut bertelagah dengan penyokong selepas diejek di Stadium Emirates bulan lalu tapi Emery menyatakan skuad itu ‘berhak mendapat sokongan anda’.

"Memang satu penghargaan untuk dilantik sebagai Ketua Jurulatih Arsenal," kata Emery.

"Kepada semua penyokong, saya mahu ucapkan terima kasih atas usaha membantu dan memberi kesempatan buat saya menikmati detik kehebatan bersama Arsenal.

"Juga terima kasih saya kepada semua peminat yang memberikan sokongan dari seluruh pelusuk dunia, kepada penyokong yang bertandang ke Emirates, juga kepada penyokong yang sanggup berdiri dalam hujan dalam cuaca sejuk untuk memberikan ucapan kepada saya setiap kali selepas perlawanan.

"Saya mahu maklumkan bahawa selama di sini saya bekerja dengan penuh komitmen dan kerja keras. Saya memang berusaha memberikan keputusan terbaik untuk kalian.

"Saya juga menghantar mesej ini kepada semua pekerja di Arsenal yang melayan saya dengan baik. Kehebatan Arsenal ada dalam diri pengarah, eksekutif, pekerja, pembantu dan sukarelawannya.

"Secara khusus saya mahu ucapkan penghargaan kepada bekas Ketua Eksekutif, Ivan Gazidis, yang menyambut kedatangan saya dan juga Raul Sanllehi (Ketua bola sepak), Edu (Pengarah Teknikal) dan Vinai Venkatesham (Pengarah Urusan) atas rasa hormat, setiakawan dan bantuan yang diberikan,” katanya. – Agensi

Berita Harian X