Sabtu, 30 November 2019 | 2:11pm
Pintu masih belum tertutup buat skuad negara untuk mara ke separuh akhir biarpun hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan dan tewas 0-1 di tangan Filipina, malam tadi. - NSTP/Osman Adnan
Pemain Malaysia, Adam Nor Azlin (tengah) mengawal bola sambil diasak tiga pemain Filipina pada perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 2019, malam tadi. - NSTP/Osman Adnan
Pemain Malaysia, Dominic Tan (kiri) bersaing dengan pemain Filipina, Javier Augustine pada perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 2019, malam tadi. - NSTP/Osman Adnan

Teruslah sokong kami - Adam Nor Azlin

MANILA: Kapten skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Adam Nor Azlin mohon penyokong terus memberikan sokongan kepada pasukan itu untuk mengharungi baki dua perlawanan Kumpulan A Sukan SEA 2019.

Pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, pintu masih belum tertutup buat skuad negara untuk mara ke separuh akhir biarpun hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan dan tewas 0-1 di tangan Filipina, malam tadi.

Katanya, kekalahan di tangan Filipina sudah pasti sesuatu yang sukar diterima namun meminta agar peminat tempatan terus memberikan kata-kata semangat menjelang menjelang pertemuan dengan Timor Leste Isnin ini dan Kemboja dua hari selepas itu.

“Sebagai manusia biasa, pemain tidak seharusnya dihina atau dicaci susulan kekalahan itu kerana ia boleh menjatuhkan motivasi pasukan. Kami memang kecewa tetapi saya percaya pemain sudah memberikan apa yang mereka ada.

“Saya rasa bangga dengan semua pemain dan kami hanya mohon doa rakyat Malaysia.

“Jangan apabila kita kalah pemain dikutuk dan dihina seperti kami tiada maruah. Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik,” kata Adam yang menjadi salah seorang daripada dua pemain lebih umur yang disenaraikan kali ini.

Kekalahan menyaksikan Malaysia kini berada di kedudukan keempat carta kumpulan dengan satu mata dan berdepan misi wajib menang ke atas Timor Leste serta Kemboja untuk layak ke separuh namun ia turut bergantung kepada keputusan perlawanan lain.

Sementara itu, pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba mengakui kekalahan itu adalah prestasi terburuk pasukan yang mana mereka seharusnya mampu bermain jauh lebih baik.

“Secara peribadi, memang memalukan kerana taraf kita bukan macam ini. Tidak boleh salahkan sesiapa sebab kita bermain sebagai satu pasukan.

“Memang kita salahkan diri sendiri. Kami bertanggungjawab dengan kekalahan ini. Namun, kami perlu bangkit untuk dua perlawanan seterusnya dan perbaiki kelemahan kami,” kata pemain berasal dari Pulau Pinang itu yang kini menyarung jersi JDT.

Berita Harian X