Sabtu, 30 November 2019 | 9:59pm
PENYOKONG Kedah 'menyerbu' penyerang baharu Kedah Kpah Sherman sebaik beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) pada pukul 7.15 malam tadi. NSTP/Izzali Ismail

Berbaloi tunggu Kpah

ALOR SETAR: Penantian selama enam jam puluhan penyokong Kedah untuk melihat penyerang baharu pasukan itu, Kpah Sherman ternyata berbaloi apabila pemain itu tiba di Alor Setar, malam tadi.

Kehadiran bekas pemain PKNS FC itu yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim lalu sememangnya ditunggu-tunggu peminat Lang Merah selepas namanya diumum Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai pemain pasukan itu bagi musim 2020. 

Ketibaannya pemain kelahiran Liberia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar disambut oleh pegawai, staf dan puluhan penyokong Kedah yang mahu melihat sendiri kelibatnya lebih awal.

Salah seorang penyokong tegar skuad Hijau Kuning Shaifulamri Ahmad, 40 dari Pendang menjadi antara individu yang terawal menantikan kehadiran Kpah sebaik mengetahui jadual ketibaan pemain berusia 27 tahun itu lebih awal.

"Impian saya dan rakan-rakan untuk melihat pemain yang kami minati ini di depan mata tercapai dan kami antara penyokong terawal hadir sejak pukul 1.30 tengahari tadi selepas dimaklumkan ketibaan Kpah pada pukul 2.30 petang pada awalnya.

"Walaupun kami perlu meluangkan masa hampir enam jam, kami tetap mahu menunggu dan impian kami adalah untuk merakam kenangan manis dengan menyambut penyerang baharu Kedah, walaupun dimaklumkan rakan mengenai pertukaran jadual waktu ketibaan pesawat yang diubah hingga jam 7 malam.

"Jadi dengan kehadiran Kpah pada hari ini dan Kipre Tchetche yang juga datang semalam, semangat sokongan serta motivasi kami selaku penyokong kini terus meningkat dan tak sabar mahu melihat mereka beraksi di padang nanti." katanya. 

Selain Kpah dan Kipre, pemain baharu Tam Sheang Tsung dan penjaga gol Mohd Shahril Sa'ari difahamkan sudah tiba di Kedah sejak semalam, manakala Muhammad Hadin Azman dan Muhamnad Jafri Chew juga dijangka hadir pada hari ini. 

Berita Harian X