Isnin, 2 Disember 2019 | 8:21am
Penyerang Barcelona, Lionel Messi (tengah) diasak pemain Atletico de Madrid pada perlawanan La Liga awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Barcelona, Lionel Messi (tengah) diasak pemain Atletico de Madrid pada perlawanan La Liga awal pagi tadi. - Foto AFP

Messi bawa Barca kembali ke puncak

MADRID: Lionel Messi memberi harapan buat Barcelona merangkul gelaran La Liga apabila menjaringkan gol lewat permainan dalam kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid.

Messi yang juga pemain pilihan untuk merekodkan kemenangan Ballon d’Or buat kali keenam berturut-turut di Paris awal pagi esok, sekali lagi membantu Barca di Wanda Metropolitano di mana perlawanan awalnya dilihat berakhir seri tanpa jaringan.

Penyerang Argentina itu menyumbat gol pada minit ke-86 hasil umpanan Luis Suarez bagi memastikan Barcelona kini menyamai kutipan mata Real Madrid di kedudukan teratas liga, sementara terus menjarakkan diri dengan Atletico.

“Tiga mata ini adalah penting tetapi juga perlu bagi mental pasukan,” kata pengendali Barca, Ernesto Valverde. “Ia memberikan kami lebih keyakinan menjelang rehat Krismas.”

Atletico kini enam mata di belakang Real dan Barca, dengan kedua-dua pasukan bakal bermain Clasico pertama musim ini di Camp Nou pada 18 Disember.

Ini bermakna Atletico berkemungkinan akan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, jarak yang semakin jauh dan bakal bertemu Barca dan Real Madrid di tempat lawan selepas ini.

Pertahanan Atletico Madrid, Maio Hermoso (kiri) cuba menghalang penyerang Barcelona, Luis Suarez pada aksi perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP
Pertahanan Atletico Madrid, Maio Hermoso (kiri) cuba menghalang penyerang Barcelona, Luis Suarez pada aksi perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Kami perlukan mata ini,” kata pengendali Atletico, Diego Simeone. “Kami tidak jauh daripada mereka tetapi kami bimbang. Saya gembira dengan cara kami bermain tetapi saya tidak akan tersenyum tentangnya kerana ia tidak memberikan kami mata.”

Messi kini menjaringkan gol ke-12 buat dirinya pada musim ini dan juga keenam dalam lima perlawanan terakhirnya. Dia juga kini mempunyai 25 gol daripada 27 perlawanan menentang Atletico tetapi ini adalah yang pertama di Wanda Metropolitano.

Barcelona bernasib baik tidak bermain dengan hanya 10 pemain pada babak kedua apabila Gerard Pique terselamat daripada memperoleh kad kuning kedua berikutan pergeseran dengan Alvaro Morata. – AFP

 

Berita Harian X