Isnin, 2 Disember 2019 | 7:54pm
Pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob (kanan) ketika mengadili Liga Super. - NSTP/Rasul Azli Samad

Pengadil Malaysia terus laku

 

KUALA LUMPUR: Walaupun sering dikritik peminat tempatan, 'saham' pengadil negara ini masih tinggi di pertandingan luar negara apabila menerima beberapa jemputan untuk bertugas di pertandingan antarabangsa.

Kali ini dua pengadil negara, Mohd Amirul Izwan Yaacob dan Mohd Yusri Muhamad (penolong pengadil) menerima jemputan untuk bertugas di Pusingan Akhir Kejuaraan Bola Sepak EAFF E-1 2019 di Busan, Republik Korea pada 10 hingga 18 Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata kejohanan itu akan membabitkan empat pasukan terbaik di Asia Timur membabitkan Jepun, China, Hong Kong dan tuan rumah.

"Dalam usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberikan lebih pengalaman antarabangsa kepada pengadil tempatan, beberapa pegawai perlawanan dilantik untuk dihantar bertugas pada dua kejohanan bola sepak dan futsal sepanjang Disember 2019 ini.

"Mohd Amirul Izwan Yaacob dan Mohd Yusri Muhamad menerima jemputan daripada Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF) untuk bertugas di Pusingan Akhir Kejuaraan Bola Sepak EAFF E-1 2019," katanya. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Widiya Habibah Shamsuri akan bertugas sebagai Penilai Pengadil bagi perlawanan kategori wanita kejohanan berkenaan membabitkan tuan rumah, Jepun, China dan Taiwan.

Dalam perkembangan lain, pengadil futsal, Helday Idang menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) untuk mengadili Kejohanan Futsal Antarabangsa PTT Thailand Five 2019 pada 11 hingga 15 Disember ini di Nakhon Ratchasima.

"Sudah tentu pelantikan pegawai perlawanan ini membuktikan pengadil dari Malaysia memiliki kualiti dan kredibiliti di peringkat antarabangsa.

"Saya diharap mereka dapat menjalankan tugasan masing-masing dengan sempurna," katanya.

Berita Harian X