Selasa, 3 Disember 2019 | 12:17pm
MAURICIO Pochettino

Pochettino sedia bekerja jika dapat tawaran 

BUENOS AIRES: Mauricio Pochettino menyatakan dia sanggup kembali bekerja sebagai pengurus jika diberi tawaran sesuai sama ada Di Argentina atau Eropah selepas dipecat Tottenham baru-baru ini.

Pengurus berumur 47 tahun itu dipecat kelab Liga Perdana pada 19 November lalu selepas permulaan suram kelab itu musim ini, dengan kini Jose Mourinho mengisi kekosongannya.

Pochettino kembali ke negara asalnya, Argentina tetapi kini menyatakan kesediaannya untuk kembali bekerja berdasarkan peluang yang ada.

“Ada banyak kelab dan projek menarik untuk saya fikirkan,” katanya kepada Fox Sports Argentina.

“Buat masa ini, perkara terpenting bagi saya adalah untuk mengosongkan fikiran saya selepas lima dan setengah musim mengagumkan bersama Tottenham.

“Sasaran saya adalah untuk cuba mencari kekuatan menguatkan diri sendiri dan memberi motivasi semula.

“Memang niat saya untuk kembali menguruskan kelab di Eropah. Ia adalah sukar untuk saya bayangkan projek di Argentina.

“Bagaimanapun, demi keluarga, saya tidak akan menolak kerja di sini.

“Tetapi kini saya perlu lebih tenang dalam beberapa hari ini dan lihat apa yang terjadi.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk memahami apa yang terjadi pada saya.

“Keputusan pertama saya adalah untuk kembali ke Argentina, kembali ke rumah saya dan melawat keluaga dan rakan-rakan.

“Keputusan terbaik saya adalah kembali ke Argentina untuk berehat selama 10 hari.” – Agensi 

 

Berita Harian X