Selasa, 3 Disember 2019 | 1:34pm
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

Guardiola tak cadang beli pemain baru

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata beliau tidak akan berbelanja besar pada jendela perpindanan bulan depan untuk mengubah nasib The Citizens di Liga Perdana Inggeris tatkala kian ketinggalan di belakang Liverpool untuk perebutan gelaran musim ini.

Juara bertahan itu kini menghuni tangga ketiga dengan ketinggalan 11 mata berbanding skuad Juergen Klopp selepas 14 perlawanan.

City akan berkunjung ke Burnley awal dalam Liga Perdana Inggeris pagi esok. (jam 4.15 pagi waktu Malaysia).

City kemudian dijadual menunggu kunjungan Manchester United pada Ahad (8 Disember) yang juga aksi penentu buat pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer sama ada dia dipecat atau kekal menerajui di Old Trafford.

Gawang City bolos dalam tujuh perlawanan, yang diakui Guardiola ‘tidak cukup bagus’ dan kelab itu dikaitkan dengan pertahanan Leicester City Caglar Soyuncu.

Namun beliau menolak idea untuk membeli seorang bek tengah apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan.

Sebaliknya Guardiola akan terus memberikan kepercayaan kepada Fernandinho dan menanti kepulangan Aymeric Laporte selepas lama berehat akibat kecederaan lutut.

Ditanya sama ada strategi perpindahan City sudah berubah, Guardiola berkata: “Tidak, saya tidak mahu mana-mana pemain pada Januari.

“Jika kita tidak dapat lakukan pada musim panas, kami tidak boleh lakukan pada Januari.

“Apabila mereka datang dengan peluang luar biasa pada Januari untuk empat, lima atau enam tahun berikutnya mungkin kami akan fikir mengenainya tetapi ia mustahil.

“Biasanya pemain yang kami minat untuk mengukuhkan skuad, tidak akan dijual.”

Guardiola akan sekali lagi mengharapkan sentuhan pemain Brazil, Fernandinho meskipun berdepan cabaran penyerang Burnley, Ashley Barnes dan Chris Wood yang lebih menampilkan permainan fizikal. – AFP

Berita Harian X