Selasa, 3 Disember 2019 | 4:46pm
ONG Kim Swee

Kim Swee hanya fokus berdepan Kemboja

MANILA: Jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu mengambil peduli aksi membabitkan Filipina menentang Timor Leste, petang esok.

Sebaliknya, pengendali berusia 49 tahun itu menegaskan pertemuan anak buahnya menentang Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan A Sukan SEA 2019 yang berlangsung serentak lebih penting dengan misi wajib menang.

Pertemuan dengan Kemboja di Stadium Rizal Memorial penting bagi memburu satu lagi slot ke pusingan kalah mati selepas Myanmar sudah mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan A dengan mengumpul 10 mata.

Perebutan satu lagi tempat kini membabitka saingan tiga penjuru antara Malaysia, Kemboja dan Filipina dengan masing-masing ketika ini berkongsi empat mata.

“Saya tidak mahu fikirkan mengenai satu lagi perlawanan (Filipina menentang Timor Leste) kerana ia boleh mengganggu fokus kita ke peringkat seterusnya.

“Apa yang penting adalah kemenangan (ke atas Kemboja). Kita mungkin tidak boleh tahu apa yang berlaku antara Filipina dengan Timor Leste, sama ada tuan rumah dapat satu, dua atau tiga gol.

“Jadi, kemenangan adalah lebih penting buat kita dan sekiranya mampu menjaringkan gol yang lebih, ia lebih baik,” kata Kim Swee.

Skuad negara yang hadir dengan status sebagai pemenang pingat perak edisi 2017 di Kuala Lumpur sekadar seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pertama sebelum tewas 0-1 kepada Filipina.

Bagaimanapun, kemenangan sulung anak buah Kim Swee hadir selepas menewaskan Timor Leste 4-0, semalam.

Berdasarkan format pertandingan, sekiranya mata terikat, perbezaan gol akan diambil kira bagi menentukan pasukan yang layak ke separuh akhir.

Dalam pada itu, Kim Swee boleh menarik nafas lega apabila semua pemainnya bebas daripada kecederaan dan mampu menurunkan kesebelasan utama terbaik bagi bertemu Kemboja.

 

 

Berita Harian X