Selasa, 3 Disember 2019 | 8:43pm
Ketua jurulatih Tottenham, Jose Mourinho.

Mourinho kembali ke Old Trafford untuk menang

ENFIELD, England: Jose Mourinho mahu meneruskan permulaan 100 peratus kemenangan selaku pengurus Tottenham Hotspur apabila dia kembali ke Old Trafford buat pertama kali selepas dipecat Manchester United dan percaya dia akan ditunnjukkan rasa hormat, awal pagi Khamis ini.

Pengendali dari Portugal itu memenangi Liga Europa dan Piala Liga dalam dua musim penuh di United tetapi dipecat pada pertengahan musim ketika kelab berkenaan berkedudukan keenam Liga Perdana.

Dia muncul kembali di Tottenham dua minggu lalu selepas kelab berkenaan berpisah dengan Mauricio Pochettino dan sudah melihat tiga kemenangan berturut-turut lalu membawa Spurs ke kedudukan kelima.

Kesudahan Mourinho di United penuh berliku selain memberikan dua trofi, mereka juga berkedudukan kedua di belakang Manchester City pada 2017-18 - pencapaian dianggap terbaik oleh jurulatih yang pernah menang dua kali Liga Juara-Juara itu.

“Esok saya akan kembali sebagai jurulatih pasukan yang akan cuba menewaskan Manchester United dan itu mungkin akan memberikan pandangan berbeza,” kata pengurus dari Portugal itu.

“Kembali ke Old Trafford ialah balik ke tempat saya gembira. Saya boleh katakan seperti itu. Saya ada hubungan yang hebat dengan penyokong Manchester United.

“Saya jangkakan ada rasa hormat akan ditunjukkan kepada saya, tapi saya faham apa yang mereka mahu adalah bertentangan dengan apa yang saya mahukan – saya mahu Tottenham menang. Ketika perlawanan sudah tentu saya mahu mereka melupakan saya dan sokong pasukan mereka.”

Kembalinya Mourinho ke Old Trafford mendominasi bahang kehangatan saingan itu tetapi dia berkata masanya di United kini ‘berada dalam buku sejarah saya’ sambil menambah: “Di United saya menang dan saya belajar. Masa yang saya lalui selepas meninggalkan kelab itu adalah masa yang baik buat saya.” - Reuters

Berita Harian X