Khamis, 5 Disember 2019 | 8:04am
MASON Mount meraikan jaringan gol bersama Tammy Abraham pada perlawanan Liga Perdana. - Foto Reuters

Mount, Abraham julang Chelsea

LONDON: Frank Lampard mencabar Tammy Abraham supaya meneruskan ketajamannya selepas penyerang Chelsea itu tampil dengan prestasi mengagumkan ketika membantu pasukannya menewaskan Aston Villa 2-1, awal pagi tadi.

Kemenangan turut menyaksikan skuad kendalian Lampard mengakhiri deretan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana menerusi persembahan hebat dua pemain muda England, Abraham dan Mason Mount di Stamford Bridge.

Abraham, 22, meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-24 menentang bekas kelab yang disertainya secara pinjaman di Liga Kejuaraan musim lalu tetapi kedudukan itu disamakan Trezeguet pada minit ke-41.

Begitupun, pemain berusia 20 tahun, Mount membalasnya apabila meledak gol menerusi rembatan voley menarik menerusi umpanan Abraham pada awal babak kedua untuk mengesahkan tiga mata buat tuan rumah.

GOL hasil jaringan Tammy Abraham pada perlawanan Liga Perdana. - Foto AFP

Chelsea kekal di tangga keempat liga dengan kelebihan enam mata di depan pasukan tangga kelima Wolves dalam usaha pasukan itu memburu kedudukan empat terbaik liga dalam musim pertama Lampard selaku pengurus.

Abraham yang meledak 26 gol dalam 40 penampilan ketika dipinjamkan di Villa, musim lalu sudah meledak 12 gol dalam semua kejohanan buat Chelsea musim ini dengan 11 daripadanya hadir dalam saingan Liga Perdana.

"Tammy menghampiri carta teratas penjaring terbanyak, memusnahkan pertahanan, memulakan serangan dan dia turut membesar dari sudut personaliti di bilik persalinan,” kata Lampard yang mahu pemainnya itu meneruskan peningkatannya.

“Apabila dia tidak bersama pasukan, dia pemain yang kamu rindui. Dia sekarang adalah pemain yang laparkan kejayaan. Saya tidak akan meletakkan sasaran untuknya. 

“Apa yang saya katakan adalah bolehkan kamu menjaringkan gol dalam semua perlawanan dan bolehkan kamu terus ‘laparkan’ kejayaan buat pasukan? Ketika ini dia melakukannya.” - AFP

Berita Harian X