Khamis, 5 Disember 2019 | 9:58am
AURELIO De Laurentiis.
AURELIO De Laurentiis.

De Laurentiis sangkal dakwaan pecat Ancelotti

NAPLES: Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis menyatakan dia ‘tidak menelefon sesiapapun’ ketika tegas menafikan bahawa kelab itu akan memecat Carlo Ancelotti dan bercadang melantik Gennaro Gattuso.

Khabar angin itu tersebar selepas Napoli kalah dalam lapan perlawanan dalam semua pertandingan sekali gus timbul laporan di Itali mendakwa Ancelotti bakal dipecat menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Genk 10 Disember ini.

Selain itu, timbul khabar angin yang mendakwa berlaku pertikaman lidah di bilik persalinan Napoli sekali gus bekas pengendali Milan, Gattuso kembali disebut sebagai calon berpotensi menggantikan Ancelotti.

CARLO Ancelotti.
CARLO Ancelotti.

Tidak cukup dengan itu, nama pengurus lain antaranya Massimiliano Allegri dan Luciano Spalletti turut disebarkan sebagai calon pengendali Napoli yang baharu.

Namun, De Laurentiis yang terkenal dengan mulut celuparnya menafikan semua laporan berkenaan biarpun Napoli ketika ini menghuni tangga ketujuh dengan sekadar mengutip 17 mata di Serie A.

"Keyakinan saya terhadap Carlo Ancelotti tidak pernah berkurangan,” kata  De Laurentiis kepada stesen Radio Kiss Kiss.

"Saya yakin sepenuhnya kepada Ancelotti tanpa sebarang syarat, baik sebagai seorang lekaki mahupun sebagai jurulatih.

"Untuk masa depan, saya belum membuat sebarang keputusan, ia satu kesilapan jika saya berbuat demikian waktu ini, kami sedang mengharungi musim ini dengan jayanya.

“Hanya ada satu cara, kami mesti mencari jalan damai dan pasukan mesti kembali bekeja dengan bersungguh-sungguh.

"Saya tidak menghubungi sesiapapun, saya tidak menelefon Gattuso dan tidak pernah dengar suara Spalletti.

“Dengan Allegri memang ada, tapi bukan sekarang. Kami bercakap sejak 2013 lagi, kami ada hubungan rapat.

“Pada 2013 saya menghubunginya kerana saya mahu dia menjadi jurulatih di sini, ketika itu dia menjadi jurulatih Milan.

“Pada waktu itu dia beritahu saya dia hanya sedia dilantik selepas tamat musim.

“Dia kemudian menghubungi saya dan sanggup dengan tawaran itu, tapi saya orang yang jenis cakap terus terang, jadi saya terbang ke London dan kemudian berjabat tangan dengan Rafa Benitez, maka semua cerita habis di situ,” katanya. – Agensi

Berita Harian X