Jumaat, 6 Disember 2019 | 11:00am
KETUA jurulatih pasukan bolasepak negara, Datuk Ong Kim Swee ketika sidang media selepas tiba dari Sukan SEA Filipina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA

Kim Swee pasrah keputusan FAM

MANILA: Datuk Ong Kim Swee menerima dengan hati terbuka keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak memperbaharui kontraknya sebagai jurulatih skuad bawah 22 tahun negara.

Keputusan itu hadir kurang 24 jam susulan kegagalan anak buah Kim Swee melepasi peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA 2019 di sini selepas tewas di tangan Kemboja 1-3, petang semalam.

Kim Swee, 49, berkata beliau sudah pun dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Setiausa Agung FAM, Stuart Ramalingam.

"Ini adalah keputusan pihak pengurusan dan saya harus hormatinya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada FAM. Buat masa ini saya tidak mahu lagi memikirkan mengenai masa depan saya.

"Saya terlebih dahulu akan memberikan tumpuan kepada kursus kejurulatihan pro saya akan datang. Pada masa yang sama saya mahu menghabiskan masa bersama keluarga sebelum memikirkan langkah seterusnya," kata Kim Swee sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, hari ini.

Sepanjang lima penampilan di temasya Sukan SEA, ini adalah kali kedua Kim Swee gagal membawa pasukan mara ke peringkat separuh akhir selepas edisi 2015 di Singapura.

Bagaimanapun, rekod Kim Swee tetap membanggakan di temasya dwitahunan itu apabila dia membantu pasukan memenangi emas 2011 di Jakarta, Indonesia selain muncul naib juara dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Edisi 2013 di Myanmar menyaksikan pasukan negara mara sehingga separuh akhir.

Kemuncak prestasi Kim Swee sebagai jurulatih skuad muda negara adalah ketika dia berjaya membawa pasukan ke pusingan kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Ketika itu, anak buahnya turut mencipta kejutan sensasi apabila menewaskan pasukan pilihan Korea Selatan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan.

Kim Swee, berkata beliau tidak berasa kesal di atas keputusan yang dibuat FAM ini.

"Setiap jurulatih yang terbabit dengan bola sepak adalah untuk mencapai keputusan. Usaha kita hanya akan ditentukan dengan keputusan.

"Ia tidak kira keputusan sebelum ini. Jika saya mahu membawa pasukan menjuarai Piala Dunia sekalipun tetapi semalam saya kalah dengan Kemboja, perkara sama akan berlaku.

"Saya tidak kesal sama sekali. Saya harus berterima kasih kepada FAM yang mana saya bermula dengan peringkat umur begitu muda termasuklah dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil sehingga saya menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan kembali semula kepada bawah 23 tahun.

"Pengalaman yang saya lalui amat banyak dan pendedahan yang saya dapat daripada FAM mungkin tidak akan dapat kepada jurulatih lain," katanya.

Berita Harian X