Sabtu, 7 Disember 2019 | 11:41am
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bersama pemainnya, Daniel James selepas perlawanan menentang Tottenham Hotspur Liga Perdana Inggeris, Rabu lalu. - Foto REUTERS

Harapan tetangga Manchester

LONDON: Dua pasukan tetangga Manchester City dan Manchester United mengharapkan keputusan positif pada pertemuan mereka di Stadium Etihad, awal pagi esok selepas masing-masing mengharungi musim ini yang mengecewakan.

Manchester United meraih kemenangan yang sangat diperlukan pengurus Ole Gunnar Solskjaer, kelmarin yang turut memberikan kekalahan pertama pengurus Tottenham, Jose Mourinho.

The Red Devils sekali lagi bergantung kepada jaringan Marcus Rashford ketika penyerang England itu meledak dua kali berdepan Tottenham untuk mengumpul 12 gol dalam 13 perlawanan untuk kelab dan negaranya.

"Dia pemain yang hebat, memberi tekanan kepada lawan tanpa rasa takut," kata Solskjaer. "Itulah yang kami mahu - kami mahu melihat pemain muda menikmati permainan mereka sendiri."

Kemenangan itu memberi sedikit kegembiraan buat peminat United untuk menikmati musim ini, namun hanya kemenangan kelima Liga Perdana dalam 15 perlawanan cukup untuk mengangkat mereka ke tangga keenam.

Mereka masih ketinggalan 11 mata di belakang City di tangga ketiga, yang turut bergelut dengan masalah prestasi tidak menentu.

Skuad kendalian Pep Guardiola masih mengintai kemenangan selepas membelasah Burnley 4-1, Selasa lalu dengan Gabriel Jesus menggunakan peluang ketiadaan Sergio Aguero untuk meledak dua gol.

City hanya tewas sekali dalam enam pertemuan liga dengan United sejak Guardiola memikul tugas tiga tahun lalu dan tidak boleh tercicir mata lagi jika mahu mengejar Liverpool dalam perebutan kejuaraan.

Juara bertahan itu mungkin memulakan perlawanan di Etihad dengan ketinggalan 14 mata di belakang Liverpool sekiranya skuad Jurgen Klopp meneruskan kemenangan di Bournemouth, malam ini.

"Melihat kepada jarak kami berada di belakang Liverpool, ia akan menjadi gila untuk memikirkan kejuaraan, jadi kami perlu memikirkan pertemuan tetangga (berdepan United)," kata Guardiola. - AFP

Berita Harian X