Selasa, 10 Disember 2019 | 9:16pm
VAN Dijk
VAN Dijk

Van Dijk mungkin lagi bagus dari saya - Stam

LONDON: Legenda Manchester United, Jaap Stam mengakui Virgil van Dijk mungkin ‘lebih bagus’ berbanding dirinya dengan peningkatan yang ditonjolkan pertahanan Liverpool itu disifatkan sebagai mengagumkan.

Buat pemain yang menamatkan anugerah Ballon d’Or 2019 di kedudukan kedua di belakang bintang Barcelona, Lionel Messi, perjalanan Van Dijk  tidak hadir dalam jangka masa yang singkat.

Selepas memulakan kariernya di Groningen, pemain kebangsaan Belanda itu berpindah ke Celtic pada 2013 dan selepas dua tahun di Scotland, dia berkelana ke Liga Perdana untuk menyertai Southampton.

Persembahan yang ditampilkan bersama Southampton menyaksikannya disambar Liverpool dengan rekod pembelian memecah rekod dunia £75 juta (RM411.46 juta) pada Januari 2018.

Van Dijk berterusan menonjolkan peningkatan dan menerima pelbagai pujian di Anfield yang membenarkannya menjadi pemenang Liga Juara-Juara serta meraih pelbagai anugerah termasuk Pemain Terbaik UEFA. 

Justeru, Stam mengakui kagum dengan perjalanan yang dilalui pemain berbakat berusia 28 tahun itu.

“Ia sentiasa menjadi perbincangan di Belanda dengan semua orang bercakap: ‘Kita memerlukan seorang lagi pertahanan seperti Jaap’ dan akhirnya, Virgil datang tetapi dia bermula agak lewat,” kata Stam mengenai rakan senegaranya itu.

“Dia tidak bermula di akademi seperti Ajax atau PSV. Dia membina sendiri kariernya dengan bermula dengan pasukan yang kecil dan kemudian pergi ke Scotland dan kemudian datang ke United Kingdom. Kamu perlu berusaha sendiri dan dia melakukannya.”

Tidak seperti Stam yang pernah menjulang tiga trofi Liga Perdana di antara musim 1998 hingga 2001, Van Dijk masih belum merasai nikmat memenangi saingan tertinggi di England itu dengan Liverpool dilihat memiliki peluang terbaik pada musim ini.

Beraksi di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, Stam dilabel salah seorang pertahanan terbaik di dunia dengan Van Dijk dikatakan mempunyai kualiti yang sama tetapi turut digambarkan sebagai salah seorang pertahanan tengah paling lengkap pernah ada.

“Ya, dia mungkin lebih baik. Saya tidak tahu. Tetapi Virgil adalah masa kini. Adalah penting sebagai pemain bola sepak jika kamu ingin bermain di liga terbaik dan kelab terbesar,” kata Stam. - Agensi

Berita Harian X