Rabu, 11 Disember 2019 | 7:13am
Penyerang Napoli, Arkadiusz Milik (kiri) melakukan sepakan penalti untuk gol hatriknya ketika menentang Genk pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Napoli, Arkadiusz Milik (kiri) melakukan sepakan penalti untuk gol hatriknya ketika menentang Genk pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Napoli iringi Liverpool, Ancelotti makin tertekan

NAPLES, Itali: Napoli menamatkan sembilan perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan untuk mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi ketika hatrik babak pertama Arkadiusz Milik menyaksikan kemenangan 4-0 mengatasi Genk yang kini menjadi kubu terakhir jurulatih Carlo Ancelotti.

Penjaga gol Genk, Maarten Vandevoordt, yang berusia 17 tahun 287 hari dan penjaga gol termuda bermain dalam Liga Juara-Juara, melalui mimpi ngeri apabila melepaskan bola untuk gol Milik pada minit ketiga.

Penyerang Poland itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-26 dan menyempurnakan penalti pada minit ke-38 sebelum Dries Mertens, yang tampil buat kali ke-300 bersama Napoli, melengkapkan jaringan dengan satu lagi penalti 15 minit sebelum tamat.

Napoli menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan 12 mata, satu mata di belakang Liverpool manakala lawan mereka dari Belgium itu terbawah kumpulan dengan satu mata. 

Salzburg ketiga dan layak ke kelompok 32 terakhir Liga Europa.

Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti (kiri) bertemu pemainnya, Allan sejurus tamat perlawanan menentang Genk pada perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti (kiri) bertemu pemainnya, Allan sejurus tamat perlawanan menentang Genk pada perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport melaporkan sebelum perlawanan bahawa Ancelotti dijangka akan dipecat tanpa mengira keputusan awal pagi tadi dan digantikan bekas jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso.

Ancelotti berkata selepas itu bahawa dia dijadualkan bertemu pemilik kelab dan presiden Aurelio De Laurentiis pada hari ini.

“Kami bersetuju mengadakan pertemuan,” katanya. “Saya harap akan kekal tetapi itu keputusan yang akan dibuat presiden. Pasukan ini memiliki kualiti yang mereka tunjukkan dalam Liga Juara-Juara tetapi tidak liga.

“Mereka tidak berkata apa-apa kepada saya, saya hanya menyediakan pasukan untuk perlawanan. Adakah saya akan meletak jawatan? Saya tidak pernah lakukannya seumur hidup saya.” - Reuters

Berita Harian X