Rabu, 11 Disember 2019 | 7:20pm
SAFUWAN Baharuddin

Safuwan sertai Red Giants

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Pahang, Safuwan Baharuddin menjadi pemain import terakhir buat Selangor selepas pemain kebangsaan Singapura itu sah menyertai skuad The Red Giants bagi musim 2020.

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi laman rasminya, hari ini.

Bekas pemain Melbourne City itu bakal mengisi kuota import pemain ASEAN dan menggantikan tempat yang ditinggalkan pertahanan Vietnam, Michal Nguyen yang tidak disambung kontrak.

Kemasukan pemain berusia 28 tahun itu melengkapkan lima kuota import skuad Merah Kuning selepas mereka sebelum ini mengekalkan empat pemain import sedia ada iaitu Rufino Segovia, Ifedayo Olusegun, Sandro da Silva dan Taylor Regan.

Boleh beraksi di dua posisi iaitu pertahanan dan tengah, kemasukan Safuwan nyata mampu memberi tonik baharu untuk pasukan itu bagi musim hadapan.

Sebagai rekod, Safuwan pernah memenangi Liga Super pada 2013 ketika bersama Lions XII sebelum beraksi bersama Melbourne City secara pinjaman pada 2015 dan berhijrah ke PDRM setahun kemudian.

Selepas itu, Safuwan menyertai Pahang pada tahun lalu dan berjaya meledak dua gol dalam 36 penampilan.

Karier antarabangsa menyaksikan dia tampil dalam 96 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura dan menyumbang 11 gol.

Berita Harian X