Jumaat, 13 Disember 2019 | 7:54am
Pemain Standard Liege, Selim Amallah (kanan) menanduk bola bersama pemain Arsenal, Joe Willock (tengah) pada perlawanan Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto AFP

Arsenal lega ikat Liege

PARIS: Arsenal bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat Standard Liege 2-2 bagi memastikan tempat ke peringkat 32 terakhir Liga Europa sebagai juara Kumpulan F, awal pagi tadi.

Selepas menewaskan Liege 4-0 pada pertemuan pertama dengan tempat ke peringkat kalah mati hampir pasti, pengendali sementara Arsenal Freddie Ljungberg melakukan sembilan penukaran dalam kesebelasan utamanya di Belgium.

Begitupun Arsenal yang beraksi di gelanggang lawan ketinggalan pada minit ke-47 menerusi jaringan Samuel Bastien.

Kedudukan itu tambah parah apabila penjaga gol pelawat, Emiliano Martinez sekali lagi tertewas pada minit ke-67 menerusi gol Selim Amallah yang meletakkan tuan rumah di kedudukan selesa.

Pemain Arsenal, Bukayo Saka (kanan) mengawal bola dari pemain Standard Liege, Mehdi Carcela pada perlawanan Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Begitupun Gunner yang juga naib juara Liga Europa musim lalu bangkit apabila Alexandre Lacazette merapatkan kedudukan pada minit ke-78 sebelum Bukayo Saka menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Keputusan menyaksikan Arsenal mengumpul 11 mata tetapi ia belum melegakan wakil England itu apabila pencabar utamanya dalam Kumpulan F, Eintracht Frankfurt ketika itu berada di kedudukan lebih baik apabila mendahului Guimaraes 2-1.

Begitupun Guimaraes dari Portugal dan sudah pun tersingkir, meledak dua gol dalam tempoh lima minit terakhir permainan untuk meraih kemenangan 3-2.

Frankfurt yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan selaku naib juara kumpulan sebelum ini menewaskan Arsenal di London yang menyaksikan pemecatan bekas pengurus, Unai Emery. - AFP

Berita Harian X