Jumaat, 13 Disember 2019 | 11:45am
PENYERANG Arsenal, Bukayo Saka (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. - Foto AFP

Ljungberg kagum kualiti Saka

LONDON: Jurulatih sementara Arsenal, Freddie Ljungberg melabel persembahan yang ditunjukkan pemain berusia 18 tahun, Bukayo Saka dalam aksi Liga Europa bertemu Standard Liege, awal pagi tadi sebagai ‘menakjubkan’.

Selepas ketinggalan 2-0, Arsenal terpaksa bangkit dengan Saka tampil sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat perlawanan 2-2 sekaligus mengesahkan kemaraan Gunners selaku juara Kumpulan F.

Selain menyumbat gol, pemain sayap itu turut mencipta umpanan bagi jaringan pembukaan oleh Alexandre Lacazette menerusi tandukan.

“Dia menakjubkan,” kata Ljungberg. “Hantaran terakhirnya, umpanannya sentiasa efektif. Dia sedikit marah dengan saya sebelum perlawanan kerana dia perlu beraksi sebagai pemain sayap bertahan dan pertahanan tengah.

“Tetapi bakat yang dimilikinya menakjubkan. Saya merasa kasihan dengan pemain-pemain muda kami. Ramai di antara mereka tidak dipinjamkan, mereka tidak mendapat pendedahan untuk bersaing dalam kancah bola sepak elit.

“Segelintir daripada mereka melakukan kesilapan tetapi mereka akan belajar daripada kesilapan dan tidak akan melakukannya lagi. Tetapi Bukayo mengharungi malam yang menakjubkan.”

Permainan Arsenal yang memberikan tumpuan kepada corak bertahan adalah disebabkan Ljungberg membariskan ramai pemain muda dalam skuadnya ketika menentang Liege.

Begitupun, pengendali berusia 42 tahun itu jelas lebih rela menggunakan pendekatan berkenaan yang menyaksikannya kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata.

“Saya amat bangga dengan mereka. Mereka menunjukkan kepercayaan dalam bagaimana mereka boleh bermain bola sepak. Ia bagus untuk kami pada masa depan. Tenaga mereka, mereka terus melawan dan melawan. Mereka tidak berhenti,” katanya. - Agensi

 

 

Berita Harian X