Sabtu, 14 Disember 2019 | 12:42am
Brendan Rodgers (kiri) dan Jurgen Klopp.
Brendan Rodgers (kiri) dan Jurgen Klopp.

Liverpool berpeluang muncul 'juara separuh musim'

KOLUM APA KATA EPL

Seandainya Liverpool dapat memenangi aksi malam ini menentang pasukan tercorot, Watford, ia bolehlah dimahkotakan secara tak rasmi sebagai juara separuh musim Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Perlawanan di Anfield itu adalah aksi ke-17 daripada 38 keseluruhan.

Setakat ini skuad bimbingan Jurgen Klopp itu sudah mengumpulkan 46 mata daripada 16 aksi merangkumi 15 kemenangan dan satu seri. Ia meninggalkan pesaing terdekatnya, Liecester City di tempat kedua dengan kelebihan lapan mata. Aksi separuh musim adalah 19 perlawanan.

Selepas Watford, The Reds dijadual bertemu West Ham pada 21 Disember bagi aksi ke-18, namun ditunda ke hari lain, berikutan skuad Klopp bakal berentap pada Kelab Piala Dunia di Qatar. Dan sebelum itu, ia juga dijangka beraksi menentang Aston Villa pada suku akhir Piala Liga di Villa Park pada 18 Disember.

Dengan jadual yang begitu padat, sudah pasti Klopp `berpeluh’ untuk menyediakan pasukan mantap bagi memastikan ia tidak tercicir dalam usaha memburu lima kejuaraan pada musim ini. Dengan kedudukan di puncak liga agak selesa, fokus The Reds sudah pasti di Qatar untuk memburu gelaran juara kelab dunia.

Pada pertengahan minggu ini, pasukan berkenaan mendapat suntikan motivasi terbaik apabila berjaya mengelak daripada diaibkan selepas berjaya mengatasi Salzburg, 2-0 untuk melangkah ke pusingan peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Sebelum itu, mereka selaku penyandang juara Eropah dihimpit resah, takut tersingkir awal berikutan tidak boleh tewas aksi berkenaan. Sabtu lalu lalu, skuad Klopp mengukuhkan kedudukannya di persada EPL tanpa masalah besar apabila mudah menjinakkan Bournemouth, 3-0.

Minggu ini, penulis menjangkakan tiga lagi mata dalam genggaman untuk Liverpool merekodkan kemenangan ke-34 berturut-turut liga, sekali gus kekal mendahului Leicester dengan sekurang-kurangnya lapan mata lagi sebelum ketibaan `Boxing Day’ pada 26 Disember apabila kedua-duanya dijadual bertemu.

Dalam pada itu, The Foxes pula akan menerima kunjungan pasukan bermasalah, Norwich City yang menduduki tangga kedua tercorot liga selepas cemerlang membelasah Aston Villa 4-1 di Villa Park minggu lalu.

Seandainya ada masalah pun pada aksi ini, ia mungkin dihadirkan penyerang sensasi The Canaries,Teemu Pukki. Namun penulis tidak nampak kenapa Leicester harus dipalit kecewa ketika jurulatih, Brendan Rodgers kian menyerlahkan magisnya dengan berjaya meletakkan pasukan itu ditangga kedua liga ketika ini.

Sementara itu, Manchester City yang tewas di tangan jirannya, Manchester United, 1-2 di Etihad minggu lalu harus bangkit apabila berkunjung ke Emirates bertemu Arsenal yang dimalukan West Ham 1-3 sebelum ini, andai tidak mahu terus tercicir daripada mempertahankan kejuaraan liga.

Aksi tengah malam Isnin waktu Malaysia itu adalah perlawanan tumpuan minggu ini, dengan Arsenal turut memburu kemenangan dibawah pengendali sementara Freddie Ljungberg susulan pemecatan Unai Emery. The Gunners kelmarin, terikat 2-2 dengan Standard Liege dalam Liga Europa tapi tetap mara selaku juara kumpulan.

Chelsea yang menewaskan Lille, 2-1 pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini akan melayan Bournemouth manakala United yang membelasah AZ Alkmaar 4-0 kelmarin, bertemu Everton dan Tottenham Hotspur pula yang tewas kepada Bayern Munich, 1-3 bertandang ke Wolves. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Liverpool 4 Watford 0

Chelsea 2 Bournemouth 1

Sheffield 1 Aston Villa 1

Leicester 4 Norwich 0

Burnley 2 Newcastle 2

Southampton 1West Ham 1

Man United 2 Everton 1

Wolves 2 Tottenham 2

Arsenal 1 Man City 3

C Palace 1 Brighton 2

Berita Harian X