Sabtu, 14 Disember 2019 | 6:46pm
Jurgen Klopp berminat bawa pemain Salzburg, Takumi Minamino ke Anfield. - Foto Reuters

Liverpool sedang cuba dapatkan Minamino

LONDON: Jurgen Klopp seakan mengesahkan kehadiran pemain Salzburg, Takumi Minamino ketika sidang akhbar semalam.

Liverpool dijangka akan mendapatkan pemain antarabangsa Jepun itu pada Januari dengan Reds akan membayar klausa pelepasan bernilai £7.25 juta pound (RM39.98 juta).

Aksi cemerlang Minamino di Austria menghadirkan minat sekitar Eropah dan Liverpool bertindak mendapatkan pemain tengah penyerang itu menerusi perjanjian lancar dalam pasaran perpindahan pemain.

Pemain berusia 24 tahun itu bermain dengan Salzburg selama tiga musim dan cemerlang ketika dua kali menentang Reds pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Bos Liverpool itu ketika sidang akhbar pasukannya bertemu Watford sebelum itu hanya mendiamkan diri sebelum seorang wartawan Jepun memperkenalkan diri.

“Siapa anda?! Mungkin kita akan lebih banyak berjumpa selepas ini…,” kata Klopp.

Bagaimanapun Klopp enggan bercerita lanjut mengenai Minamino ketika dia tetap dengan pendirian berdiam diri mengenai potensi perpindahan sehingga ia selesai.

“Tiada apa yang boleh dikatakan. Kita bercakap mengenainya sama seperti apa yang kami lakukan terhadap pemain berpotensi lain, pada ketika ini ia sedang dilakukan dan tiada apa yang boleh diperkatakan.” - Agensi

Berita Harian X