Ahad, 15 Disember 2019 | 11:04am
Pemain Bayern Munich, Philippe Coutinho (kanan) bersaing dengan pemain Bremen, Nuri Sahin dalam aksi Bundesliga, di Munich, awal pagi tadi. - Foto AFP
Pemain Bayern Munich, Philippe Coutinho (kanan) bersaing dengan pemain Bremen, Nuri Sahin dalam aksi Bundesliga, di Munich, awal pagi tadi. - Foto AFP

Hatrik Coutinho lonjak semangat Bayern

BERLIN: Philippe Coutinho meledak hatrik ketika Bayern Munich memberi petunjuk prestasi juara Jerman itu kembali melonjak selepas menewaskan Werder Bremen 6-1 dalam saingan Bundesliga, awal pagi tadi.

Pemain pinjaman dari Barcelona jelas menampilkan prestasi terbaiknya di Allianz Arena apabila turut menyempurnakan dua umpanan tetapi kemenangan besar itu menyaksikan Bayern tetap ketinggalan enam mata daripada pendahulu RB Leipzig.

Leipzig kendalian Julian Nagelsmann mengambil alih kedudukan teratas Bundesliga daripada Borussia Moenchengladbach selepas meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Fortuna Duesseldorf. 

Bayern sebelum ini tewas dalam dua perlawanan liga tampak seperti akan mengharungi satu lagi kekecewaan apabila ketinggalan selepas pemain tengah Bremen, Milot Rashica membuka tirai jaringan pada minit ke-24.

Begitupun, dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir babak pertama mengubah situasi permainan dengan Coutinho dan Robert Lewandowski masing-masing menyumbat gol untuk Bayern mendahului 2-1.

Gergasi Jerman itu menunjukkan taring pada babak kedua apabila meledak empat gol yang dua daripadanya dijaringkan Coutinho, satu oleh Lewandowski dengan Thomas Mueller melengkapkan jumlah jaringan. 

Jurulatih Bayern, Hansi Flick memuji prestasi Coutinho yang disifatkan sebagai menakjubkan.

“Cukup menyeronokkan bagi semua orang dengan melihat bagaimana kami bermain. Apa yang membuatkan saya benar-benar gembira adalah cara pasukan yang amat menghargai usahanya, ia datang dari hati,” kata Flick. “Kami semua amat gembira dengan usaha yang ditunjukkannya pada hari ini.”

Prestasi Coutinho sejak tiba dari Barca sering menjadi perbincangan tetapi dia diberikan penghormatan oleh peminat Bayern ketika digantikan di penghujung permainan. - AFP

 

 

Berita Harian X