Isnin, 16 Disember 2019 | 12:59pm
Zlatan Ibrahimovic ketika mewakili kelab Liga Bolasepak Major (MLS) LA Galaxy. - Foto USA Today Sports Images
Zlatan Ibrahimovic ketika mewakili kelab Liga Bolasepak Major (MLS) LA Galaxy. - Foto USA Today Sports Images

Napoli, Milan jauhkan diri dari Ibrahimovic

MILAN: Pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis menolak untuk menggunakan khidmat Zlatan Ibrahimovic dan menegaskan kelab itu perlu bermula daripada asas selepas Gennaro Gattuso menggantikan Carlo Ancelotti sebagai pengurus.

Pada masa sama Ketua Pegawai Bolasepak AC Milan, Zvonimir Boban mengakui peluang untuk kelab itu menandatangani Ibrahimovic semakin pudar.

Penyerang veteran, Ibrahimovic tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan kelab Liga Bolasepak Major (MLS) LA Galaxy dan dikaitkan dengan kepulangan semula ke Serie A untuk menyertai Napoli, Milan dan kelab Serie C, Monza.

Kehadiran bekas pemain Milan, Gattuso ke Napoli meningkatkan spekulasi perpindahan ke Naples dan timbul laporan bekas pemain Manchester United itu ditawarkan kontrak selama 18 bulan sebelum Ancelotti dipecat.

"Zlatan adalah orang yang hebat dengan karakter yang mengagumkan. Kami berfikir mengenai Ibrahimovic ketika Ancelotti masih bertugas kerana dia akan diberikan peranan tertentu,” kata De Laurentiis.

“Sebelum kami berfikir mengenainya, saya mempunyai keutamaan lain kerana pasukan ini perlu mengharungi sistem yang berbeza dan kerapuhan pertahanan yang kami tidak boleh benarkan ia berlaku lagi seperti bertemu Parma.

“Kami perlu fokus semula dan memberi tumpuan terhadap apa yang kami ada ketika ini, dan kemudian menguatkan jentera tengah. Adalah sedih semua kerja yang kami buat untuk Ancelotti perlu dimusnahkan dan memulakannya semula dengan idea Gattuso. Kami akan bermula daripada asas.”

Sementara itu di Milan, Boban percaya peluang untuk Ibrahimovic kembali bermain bersama kelab yang menghuni tangga ke-10 Serie A ketika itu ini adalah kecil.

“Adakah kami akan mendapat hadiah daripada jendela perpindahan? Saya tidak tahu,” kata Boban. “Saya bercakap dengan (Paolo) Maldini (Pengarah kelab), kami melihat beberapa tempat dan kami melihat apa yang diperlu dilakukan. Impian untuk melihat Ibra? Saya sama seperti Paolo. Adakah ia semakin kurang? Ya, ia adalah realiti.” - Agensi

Berita Harian X