Selasa, 17 Disember 2019 | 1:40pm
Pemain FELDA United FC, Jasazrin Jamaluddin. - Foto stadiumastro.com

Cabaran getir menanti The Fighters 

KUANTAN: Pemain berpengalaman, Jasazrin Jamaluddin mengakui dia dan rakan sepasukan bakal berdepan cabaran getir bersama FELDA United FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.  

Pemain tengah itu berkata, keputusan The Fighters mempertaruhkan pemain muda meletakkan situasi yang memerlukan komitmen dan displin tinggi daripada semua pemain.

"Sudah pasti kami bakal berdepan cabaran besar terutama di kalangan pemain muda yang akan bersaing dengan pemain yang jauh lebih berpengalaman terutama dalam saingan Liga Super.  

"Namun, dengan bimbingan dan sokongan daripada pengurusan, tiada yang mustahil untuk memastikan The Fighters mencatat keputusan terbaik.  

"Fokus utama ialah mempertingkatkan kualiti permainan dan bersedia menempuh perlawanan getir kerana jika dilihat kepada pasukan lain, mereka dibarisi pemain berkaliber dan lebih berpengalaman," katanya. 

Mengulas hanya dia dan Khairul Amri Kamal dari Singapura iaitu pemain senior yang bersama FELDA United musim depan, Jasazrin percaya barisan pemain muda yang terpilih mampu memikul tanggungungjawab yang diamanahkan.

Katanya, dengan dibantu semua pemain termasuk khidmat import, tiada yang mustahil untuk melakar keputusan lebih baik berbanding musim ini.  

"Misi peribadi saya adalah untuk memastikan FELDA United menduduki kelompok lima atau enam pasukan terbaik dalam Liga M musim 2020.  

"Tapi, jika dapat memperbaiki tempat ke-10 yang diraih musim ini, ia adalah pencapaian membanggakan jika dilihat kepada barisan pemain," katanya.  

Antara pemain senior yang meninggalkan The Fighters ialah Hadin Azman yang juga kapten pasukan musim ini, Norazlan Razali, Christie Jayaseelan dan Arif Fadzillah Abu Bakar.   

Berita Harian X