Ahad, 22 Disember 2019 | 12:31pm
KYLIAN Mbappe
KYLIAN Mbappe

PSG terus selesa di puncak Ligue 1

PARIS: Kylian Mbappe meledak dua kali bagi memastikan Paris Saint-Germain kekal di tangga teratas Ligue 1 dengan kelebihan tujuh mata susulan kemenangan 4-1 ke atas Amiens.

Pemenang Piala Dunia, Mbappe yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-21 Jumaat lalu, membuka jaringan pada minit ke-10 diikuti gol minit pertama selepas rehat menerusi Neymar.

Mbappe sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-65 sebelum Mauro Icardi melengkapkan kemenangan di Parc de Princes enam minit sebelum tamat permainan.

Gol tunggal Amiens dijaringkan Steven Mendoza yang menyaksikan pasukannya tergelincir ke zon penyingkiran.

Marseille di tangga kedua menamatkan saingan tahun ini dengan kemenangan 3-1 ke atas Nimes.

Pengendali PSG Thomas Tuchel menyenaraikan semula Neymar, pemain paling mahal di dunia, selepas merehatkannya ketika kemenangan Piala Liga ke atas kelab divisyen dua Le Mans.

 

Sementara itu kapten Marseille beraksi cemerlang ketika membantu pasukannya mengatasi Nimes 3-1.

Rennes melonjak ke tangga ketiga selepas menundukkan Bordeaux 1-0 hasil jaringna Mbaye Niang, manakala Lille tergelincir ke tangga keempat selepas dibelasah 5-1 oleh Monaco.

Metz melonjak keluar dari zon penyingkiran selepas mengutip satu mata hasil keputusan seri 2-2 menentang Dijon. – AFP

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X