Isnin, 23 Disember 2019 | 9:20am
Pemain Real Madrid, Toni Kross (kiri) cuba dihalang pemain Athletic Bilbao, Raul Garcia pada aksi perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Real cicir mata di laman sendiri

MADRID: Real Madrid ketinggalan dua mata di belakang pendahulu La Liga Barcelona sebelum rehat musim sejuk selepas seri tanpa jaringan menentang Athletic Bilbao di Santiago Bernabeu.

Real turut seri 0-0 di Barcelona Khamis lalu tetapi keputusan terbaru ini meletakkan mereka pada 37 mata di pertengahan musim, manakala Barca 39.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu menyaksikan beberapa peluang membuka jaringan gagal dimanfaatkan Toni Kroos, Karim Benzema, Rodrygo dan Vincius Junior.

Pertahanan Real Eder Militao terpaksa dikeluarkan selepas cedera di bahagian mata dan penggantinya Nacho Fernandez juga hampir menjaringkan gol tetapi terkena gawang.

Penyerang Real Madrid, Karim Benzema merembat ke arah gawang Athletic Bilbao pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

“Ia bukan kerana nasib malang atau cepat berpuas hati,” kata Zidane. “Tidak ada sebab untuk merasa kecewa tentang ini, kami perlu kekal tenang dan merasa bangga.

“Kami mencipta banyak peluang dan jika kami terus melakukannya gol pasti akan hadir. Saya bersimpati dengan pemain-pemain.

“Sudah tentu ia bagus untuk mereka mendapat lebih; tiga mata daripada tiga perlawanan tidak besar.”

Bilbao pula menyaksikan jaringan padu Kenan Kodro di babak pertama tidak dikira kerana ofsaid, dan hampir memecah kebuntuan menerusi Asier Villalibre dalam masa kecederaan. – AFP

 

Berita Harian X