Isnin, 23 Disember 2019 | 9:44am
Penyerang Chelsea, Tammy Abraham (tengah) dikawal dua pemain Tottenham, Moussa Sissoko (kiri) dan Eric Dier. - Foto AFP

Mourinho akui Chelsea lebih baik

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur Jose Mourinho mengakui kelab lamanya Chelsea jauh lebih baik dalam kekalahan 2-0 pasukannya pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Pengendali dari Portugal itu mencatat dua kekalahan dalam enam perlawanan liga sejak menyertai Spurs bagi menggantikan Mauricio Pochettino.

Mourinho belum pernah tewas di laman sendiri menentang kelab yang pernah dikendalinya – menang 12 dan seri satu perlawanan.

Namun bekas anak didiknya di Chelsea, Frank Lampard ternyata mengatasi mentornya dalam bidang kejurulatihan apabila pasukan mudanya mendominasi perlawanan.

Tottenham berpeluang merampat tangga keempat liga daripada seteru London itu sekiranya menang tetapi kini ketinggalan enam mata di belakang Chelsea.

Jentera tengah Mourinho yang dibarisi Eric Dier dan Moussa Sissoko begitu mudah kehilangan bola sehingga membolehkan Willian membuka jaringan pada minit ke-12.

Barisan penyerangnya pula begitu tumpul dengan Harry Kane gagal mencipta peluang.

Pemain Tottenham Hotspur, Paulo Gazzaniga (bawah) menggasari pemain Chelsea, Marcos Alonso menghadiahkan sepakan penalti Chelsea sebelum separuh masa kedua Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Paulo Gazzaniga menjadi punca sepakan penalti Chelsea sebelum separuh masa kedua yang mudah disempurnakan Willian untuk kedudukan 2-0.

Spurs bertambah malang apabila Son Heung-min dibuang padang ketika permainan berbaki 30 minit, menjadikan peluang untuk bangkit semakin tipis.

“Mereka jauh lebih baik daripada kami pada babak pertama. Tidak sukar untuk saya mengakuinya,” kata Mourinho.

“Mereka bermain dengan sistem yang selesa buat mereka – sistem yang digunakan dua tahun lalu bersama Antonio Conte. Pemain-pemain selesa dengannya.” – REUTERS

Pengendali Tottenham Hotspur, Jose Mourinho (kiri) menyambut Son Heung-min yang dilayang kad merah oleh pengadil perlawanan, Anthony Taylor. - Foto REUTERS

Berita Harian X