Khamis, 26 Disember 2019 | 5:14pm
Kim Swee mengakui sudah ada perbincangan awal dilakukan namun enggan mendahului FAM. - Foto NSTP
Kim Swee mengakui sudah ada perbincangan awal dilakukan namun enggan mendahului FAM. - Foto NSTP

Tiada kata putus antara FAM, Kim Swee

KUALA LUMPUR: Sekali pun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih mengharapkan khidmat Datuk Ong Kim Swee dalam sistem bola sepak negara, belum ada sebarang kata putus dicapai membabitkan kedua-dua pihak.

Terbaharu, badan induk berkenaan dilaporkan sudah mengadakan perbincangan awal bersama jurulatih dari Melaka itu untuk mengetuai bahagian pembangunan belia.

Ketika ditanya mengenai cadangan FAM untuk meletakkan beliau di posisi pembangunan belia, Kim Swee mengakui sudah ada perbincangan awal dilakukan namun enggan mendahului badan induk berkenaan.

"Tiada apa lagi perkara baharu boleh saya kongsikan. Memang ada perbincangan dilakukan tetapi belum ada sebarang keputusan dibuat," katanya ketika dihubungi.

FAM mengambil keputusan tidak melanjutkan kontrak Kim Swee sebagai pengendali skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara ekoran kegagalan melepasi peringkat kumpulan pada Sukan SEA di Filipina, baru-baru ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pernah memberikan bayangan yang Kim Swee akan terus menabur khidmat bersama badan induk itu.

Walaupun Kim Swee gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) di Sukan SEA, FAM mengakui sumbangan jurulatih berkenaan dan pengalaman luas dalam pembangunan pemain muda boleh menjadi aset buat bola sepak negara.

Difahamkan kata putus mengenai kedudukan sebenar Kim Swee bersama badan induk itu akan ditentukan selewat-lewatnya Februari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X