Selasa, 31 Disember 2019 | 2:18pm
Gopi (kanan) kembali ke pangkuan Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 selepas empat musim berkelana ke pasukan lain. - Foto ihsan Facebook Pahang FA
Gopi (kanan) kembali ke pangkuan Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 selepas empat musim berkelana ke pasukan lain. - Foto ihsan Facebook Pahang FA
Gopi (kiri) kembali ke pangkuan Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 selepas empat musim berkelana ke pasukan lain. - Foto ihsan Facebook Pahang FA
Gopi (kiri) kembali ke pangkuan Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 selepas empat musim berkelana ke pasukan lain. - Foto ihsan Facebook Pahang FA

Gopi kembali perkuat Tok Gajah

KUANTAN: Selepas berkelana selama empat musim, bekas pemain kebangsaan, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra kembali menyarung jersi Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020.

 

Pengalaman luas dimiliki pemain kelahiran Kuantan itu diyakini membantu memperkasakan jentera tengah skuad Tok Gajah yang kehilangan beberapa pemain berkaliber di posisi berkenaan.

 

Menurut sumber, Muhammad Gopi Rizqi atau Gopi menandatangani kontrak semusim bersama skuad dari Pantai Timur itu.

 

"Pengalaman luas Gopi bersama Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah cukup mematangkannya.

 

"Kelebihan dimiliki terutama boleh bermain di posisi sayap kanan dan kiri mampu menguatkan lagi bahagian tengah pasukan.

 

"Justeru, Pahang pastinya menagih pengalaman dan kematangan Gopi bagi musim 2020 selepas dia berhijrah pada 2016 hingga 2019," kata sumber itu.

 

Dengan kehadiran semula Gopi dalam skuad itu, Pahang dijangka tidak berdepan masalah di bahagian tengah.

 

Ini kerana jentera tengah skuad itu kehilangan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria serta dua import, Saddil Ramdani dan Safuwan Baharudin.

 

Berdasarkan rekod, pemain berumur 30 tahun itu membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2013 dan 2014.

 

Pada musim 2014, dia turut membantu skuad Tok Gajah mengucup Piafa FA dan Piala Sumbangsih.

 

Namun, pemain itu meninggalkan Pahang pada 2016 untuk menyertai Selangor sebelum ke JDT (2017), Melaka United (2018) dan PDRM (2019).

Berita Harian X