Khamis, 2 Januari 2020 | 9:03am
Mikel Arteta (dua dari kiri) meraikan kejayaan bersama pemainnya. - Foto AFP

United mangsa sulung Arteta

LONDON: Hasrat Mikel Arteta tertunai apabila meraih kemenangan pertama sebagai pengendali Arsenal selepas menundukkan Manchester United 2-0 di Emirates.

Nicola Pepe dan Sokratis Papastathopoulos menemui sasaran untuk kemenangan kedua Arsenal dalam 16 perlawanan.

Kemenangan pertama di laman sendiri dalam tempoh 87 hari melonjak skuad kendalian Arteta ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris dan hanya ketinggalan empat mata di belakang United yang menghuni tangga kelima.

“Saya amat gembira dengan persembahan pasukan, dan saya lebih gembira dengan keputusannya,” kata Arteta selepas perlawanan ketiga di bawah kendaliannya.

“Semua yang saya mahu lihat di atas padang, saya dapat lihat malam ini.”

Pemain Arsenal, Sokratis Papastathopoulos (tengah) menjaringkan gol kedua pasukan. - Foto AFP

 Ahad lalu, penampilan sulung Arteta di Emirates menunjukkan aspek positif walaupun mensia-mensiakan kelebihan 1-0 untuk kekalahan 2-1 di tangan Chelsea.

Bagaimanapun kali ini tuan rumah menguasai permainan dari awal untuk menghukum aksi memalukan United yang kini peluang untuk memburu tiket ke Liga Juara-Juara mula diragui. 

Selepas mereka menjaringkan gol pertama, kelihatan seperti tenaga mereka bertambah,” kata pengendali United Ole Gunnar Solskjaer.

“Mereka pasukan yang lebih baik. Mereka sangat agresif, bijak mengawal bola dan sukar untuk merampas bola daripada mereka.”

Buat pertama kali Arsenal memulakan permainan dengan gandingan Pepe, Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette dan Mesut Ozil di barisan serangan dan ia membuahkan hasil hanya lapan minit selepas sepak mula.

Pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (atas) berentap dengan pemain Manchester United, Fred di Emirates. - Foto Reuters

Pepe menjaringkan gol Liga Perdana keduanya dari permainan terbuka sejak perpindahan dari Lille apabila merembat hantaran lintang Sead Kolasinac.

Penguasaan Arsenal di babak pertama dilengkapkan dengan gol kedua menerusi Papastathopoulos sejurus sebelum rehat. – AFP

Berita Harian X