Sabtu, 11 Januari 2020 | 3:49pm
Sathianathan menegaskan tanggapan sesetengah pihak bahawa Selangor tidak mampu mencabar JDT untuk merangkul kejuaraan Liga Super musim ini langsung tidak menjejaskan moral Red Giants. - Arkib NSTP

Selangor akan cabar JDT - Sathia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan menegaskan tanggapan sesetengah pihak bahawa pasukannya tidak mampu mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merangkul kejuaraan Liga Super musim ini langsung tidak menjejaskan moral Red Giants.

Sebaliknya, bekas pengendali Harimau Malaya itu percaya semua pasukan bertanding mempunyai peluang memecahkan dominasi Harimau Selatan yang sudah memegang gelaran liga enam musim berturut-turut.

Bagaimanapun, dia tetap mengakui bahawa JDT sebagai pasukan yang kuat dan menjadi pilihan utama menguasai puncak Liga Super.

"Memang betul (JDT pasukan kuat), tapi dalam bola sepak kita tak boleh cakap yang JDT akan merangkul (kejuaraan liga) sebab kita belum cabar dia, kita kena cabar, kita pun ada satu pasukan yang baik.

"Apa saja boleh berlaku dalam bola sepak, mungkin benda atau fakta lain boleh mempengaruhi pasukan berada di atas. Pasukan lain seperti kami, Melaka dan Perak ada harapan juga, kalau tak (tiada harapan) baik jangan main.

"Kita kena yakin yang kita boleh buat. Saya juga yakin penyokong Selangor akan membantu pasukan dan setiap perlawanan pemain akan bagi yang terbaik," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan dua bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh dan Azmil Azali menjangkakan JDT akan terus menguasai saingan Liga Super walaupun Selangor dan Kedah dicanang mampu menggugat impian besar Harimau Selatan melebar kejuaraan liga buat kali ketujuh berturut-turut.

Selain itu, Sathianathan turut mengakui tidak risau dengan prestasi semasa Selangor selepas kecundang 0-4 kepada juara liga Kemboja 2019, Preah Khan Reach Svay Rieng FC dalam aksi persahabatan, kelmarin.

"Saya tak gunakan semua pemain utama, sebaliknya mencuba pemain termasuk pemain dari skuad Piala Presiden dan ada beberapa pemain yang baharu kembali beraksi bersama pasukan seperti Wan Zack (Haikal Wan Nor).

"Perlawanan pramusim tiada yang sempurna dan dalam bola sepak, kalau kita fikir nak menang sekarang, kita akan kalah esok.

"Ini (aksi persahabatan) saya tak risau, saya risau kalau kita kalah pada penghujung Februari nanti (bermula saingan liga)," katanya.

Berita Harian X