Ahad, 12 Januari 2020 | 2:16pm
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) bersama penyerangnya Sergio Aguero yang dijangka tidak akan melanjutkan kontrak. - Foto skysports
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) bersama penyerangnya Sergio Aguero yang dijangka tidak akan melanjutkan kontrak. - Foto skysports

Guardiola sukar ganti generasi emas

MANCHESTER: Pep Guardiola sedar menggantikan generasi emas Manchester City adalah tugas yang sukar tetapi ia perlu dilakukan bagi mengekalkan kelab itu di puncak bola sepak Inggeris.

Kapten Vincet Kompany sudah meninggalkan Etihad, perancang utama David Silva juga akan menyusul di penghujung musim ini dan penjaring terbanyak kelab Sergio Aguero dijangka tidak akan melanjutkan kontrak selepas ia tamat pada tahun 2021.

Tiga pemain berkenaan adalah tonggak kepada kejayaan City ketika merangkul empat gelaran Liga Perdana Inggeris antara tahun 2012 hingga musim lalu.

“Kami tidak dapat nafikan betapa penting nama-nama ini untuk kelab,” kata Guardiola.

“Vinny amat unik, Sergio juga unik, begitu juga David. Pemain-pemain ini menakjubkan. Tetapi kelab mempunyai tanggungjawab untuk mencari pengganti mereka secepat mungkin.

“Anda perlu meneruskan perjuangan dan ia akan berlaku. Tetapi tidak dapat dinafikan mereka membantu kelab mencapai kedudukan sekarang.

“Saya bersama mereka sepanjang empat tahun lalu dan saya akan sentiasa menghargai sumbangan mereka untuk saya dan kelab.

“Mereka bersama Roberto (Mancini) dan Manuel (Pellegrini) dan bermain konsisten saban tahun.” – AFP

 

 

Berita Harian X